suria

PABM Panggil Pulang Dua Atlet Gagal Doping

Datuk Ong Poh Eng (kiri) dan Jefri Ngadirin (kanan) semasa sidang akhbar mengenai kes dua atlet angkat berat yang disyaki gagal ujian doping pada Jumaat. Foto Bernama

GEORGE TOWN: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan membawa pulang dua atlet negara yang kini menjalani latihan pusat di China, selepas mereka gagal dalam ujian doping baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Ong Poh Eng berkata, Setiausaha PABM, Pang Siew Huat sudah menghantar surat kepada kedua-dua atlet terbabit bagi memaklumkan keputusan ujian doping luar musim kendalian Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) itu. 

"Pang sedang mengatur untuk membawa pulang kedua-dua atlet itu dan mereka dijangka kembali dalam masa seminggu. Saya tidak boleh dedahkan nama atlet terbabit kerana sampel B belum diuji," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.

Turut hadir, Penasihat PABM untuk Perubatan dan Doping, Dr Terlochan Singh dan Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Menurut Ong, kedua-dua atlet terbabit diberi tempoh dua minggu untuk menjawab mengenai keputusan positif sampel A, serta mempunyai hak meminta diuji sampel B atau mengetepikannya.

Dr Terlochan berkata, kedua-dua atlet itu diuji positif dengan dadah rangsangan anabolic steroids dalam ujian doping kendalian Adamas yang dilakukan di luar musim pertandingan. 

"Atlet A diuji positif dengan Methandienone manakala Atlet B pula nandrolone, yang kedua-duanya berada dalam kelas S1 senarai larangan sepanjang masa dan di luar kejohanan," katanya sambil menegaskan mereka berdepan penggantungan maksimum empat tahun, jika didapati bersalah. 

Sementara itu, Jefri berkata, kedua-dua atlet tersebut akan digantung sementara daripada Program 'Kita Juara' yang diadakan untuk misi Malaysia menjuarai Sukan SEA 2017.

Atlet negara termasuk Mohd Hafifi Mansor, Mohd Zulhelmi Md Pisol, Muhammad Azroy Hazalwafie Izsar Ahmad, Loro Welkinson, Mohd Fazrul Azri, Aznil Bidin, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan kini berada di China sebagai persiapan untuk Kejohanan Asia di Uzbeskistan.

Kejohanan itu penting kerana menawarkan tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil.

Ini bukan kes doping pertama membabitkan atlet angkat berat negara. November lepas, Mohd Azril Huzairi Ramli yang juga pemenang dua pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis, digantung oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas positif dengan D-methamphetamine. 

Pada 2014, Jelinie Empera digantung dua tahun selepas positif dengan anabolic steroid ketika Sukma Perlis. - Bernama

PABM, Ong Poh Eng

Artikel Berikut

Artikel Lain