suria

Juara Bertahan Tunduk Kepada Australia

Pemain Australia, Matt Gohdes (baju kuning) melepasi kepungan tiga pemain New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah, Selasa. Australia menang dengan jaringan 1-0. - fotoBERNAMA

IPOH: Juara bertahan, New Zealand mengalami kekalahan pertama di Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-25 apabila tewas tipis 0-1 kepada Australia.

Australia yang juga pasukan nombor satu dunia memperoleh gol kemenangan pada minit ke-22 menerusi penyerang berbisanya Jamie Dwyer melalui pukulan sudut penalti.

Kesungguhan New Zealand mahu memastikan tidak kalah di perlawanan ini menyaksikan mereka membuat keputusan nekad mengeluarkan penjaga gol, Kyle Pontifex untuk digantikan penyerang pada minit-minit akhir permainan, namun ia tetap gagal menghalang Australia daripada menang.

Kemenangan Australia itu adalah yang keempat berturut-turut dalam kejohanan ini, sekali gus mendahuli carta dengan 12 mata, tiga mata mengatasi India yang berada di tangga kedua.

India sebelum itu berjaya menundukkan musuh tradisi Pakistan 5-1.

Kemaraan India yang berstatus pasukan nombor tujuh dunia ternyata sukar disekat Pakistan dari awal permainan apabila Manpreet Singh meledakkan gawang pada minit ke-4 menerusi gol padang.

Enggan mengalah, ketua pasukan Pakistan Muhammad Irfan menjaringkan gol penyamaan selang tiga minit kemudian, namun India nyata tidak membenarkan lawan menarik nafas lega apabila Sunil Sowmarpet meletakkan pasukannya di hadapan sekali lagi pada minit ke-10.

India menambah duka 'The Green Shirt' apabila menyumbat tiga gol menerusi Sunil pada minit ke-41, Talwinder Singh (m50) dan Rupinder Pal Singh (m54). - BERNAMA

Artikel Lain