suria

Piala AFC: Selangor Ketepikan Mauro Olivi

KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan mengesahkan penyerang importnya, Mauro Olivi tidak akan diturunkan ketika menentang kelab Bangladesh Sheikh Jamal Dhanmondi (SJD) pada aksi Kumpulan E Piala AFC 2016, malam Selasa.

Zainal berkata, keputusan tersebut dicapai selepas hasil siasatan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi satu perjumpaan dengan pemain Red Giants.

"Memandangkan perlawanan semakin dekat, pihak pengurusan ambil keputusan untuk merehatkan Olivi semasa pertemuan malam esok (Selasa)," katanya pada sidang media Piala AFC antara Selangor dan SJD di sini, Isnin.

Jelas beliau lagi, walaupun Olivi tidak tersenarai dalam skuad utama menjelang pertemuan itu, pemain kelahiran Argentina tersebut masih lagi sebahagian daripada pasukan Selangor.

"Dia tiada dalam skuad utama tapi masih lagi pemain pasukan," katanya.

Olivi dilaporkan bergaduh dengan rakan sepasukan, Mohd Hafiz Kamal di bilik persalinan pemain setelah Selangor tewas 1-3 kepada Felda United pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, Jumaat lepas.

Susulan insiden pergaduhan itu, Olivi turut akan direhatkan daripada sesi latihan dan perlawanan Liga Super bagi beberapa minggu akan datang.

Sementara itu, Zainal berkata nasib Mohd Hafiz sama ada akan memperkuat Selangor ketika pertemuan tersebut hanya akan diputuskan selepas sesi latihan petang Isnin.

"Saya tak boleh nak sahkan mengenai Mohd Hafiz, segalanya hanya akan diketahui selepas latihan petang nanti (Isnin)," katanya. 

Ketika mengulas mengenai pertemuan dengan kelab Bangladesh itu, Zainal meminta anak buahnya supaya berusaha memburu tiga mata penting untuk meneruskan saingan ke pusingan kedua kejohanan tersebut.

"Misi buru tiga mata amat penting. Walaupun kita menang di gelanggang lawan, saya harap pemain tidak ambil mudah pasukan ini," katanya.

Zainal berkata, walaupun SJD dianggap sebagai sebuah pasukan kerdil, beliau yakin pasukan tersebut akan cuba merebut kemenangan di gelanggang lawan.

"Banyak orang pandang rendah pasukan ini tapi laluan (Selangor) tidak mudah. Mereka juga sudah tentu ingin cari kemenangan. Apa yang penting adalah kita memenangi pertemuan ini," katanya.

Artikel Lain