suria

Pergaduhan Hafiz Kamal-Mauro Olivi Perkara Biasa - Kapten

KUALA LUMPUR: Kapten Selangor Shahrom Kalam menganggap insiden pergaduhan antara rakan pasukan, Mauro Olivi dan Mohd Hafiz Kamal di bilik persalinan susulan kekalahan kepada Felda United, Jumaat lalu bukanlah satu isu besar.

Beliau berkata insiden tersebut hanyalah 'pergaduhan biasa' yang berlaku selepas pasukan mengalami kekalahan di gelanggang lawan.

Katanya, pasukan tersebut sudah kembali 'tenang' selepas semua pemain meluahkan ketidakpuasan hati masing-masing dalam satu pertemuan baru-baru ini.

"Bagi saya isu Olivi ini biarlah diselesaikan pihak pengurusan.  Ia hanyalah pergaduhan biasa apabila hadapi kekalahan.

"Jadi kami harus pandang ke hadapan ketika menentang  Sheikh Jamal Dhanmondi (SJD) malam esok (Selasa)," katanya pada sidang media Piala AFC 2016 antara Selangor dan SJD di sini Isnin.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan Olivi, Shahrom berkata ia tidak akan menjejaskan fokus skuad The Red Giants untuk memburu tiga mata penuh di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam Selasa.

"Apa yang penting kami perlu bermain sebagai satu pasukan dan bukannya bergantung kepada individu. Pasukan Selangor lebih penting dari individu dan kami perlu berjuang habis-habisan," katanya.

Sebelum ini, jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan mengesahkan Olivi akan direhatkan semasa pertemuan menentang SJD, malam Selasa susulan insiden pergaduhan tersebut.

Shahrom berkata pasukan itu sudah mengenal pasti masalah yang membelenggu prestasi The Red Giants selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melakukan 'post mortem' mengenainya.

"Tidak dinafikan selepas kalah dengan Felda United memang  semangat kami jatuh. Tetapi kami sudah buat post mortem dan kenal pasti masalah yang timbul.

"Apa yang penting kami kena dapatkan tiga mata dan ia mungkin permulaan baru kepada kami untuk keluar daripada masalah prestasi sebelum ini," katanya.

Pada aksi pertama peringkat Kumpulan E menentang SJD,  15 Mac lalu, Selangor menang dengan 4-3.

Selangor kini menduduki tempat ketiga Kumpulan E selepas mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.


Selangor, Piala AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain