suria

FAS Rehatkan Mauro Olivi Kerana Masalah Disiplin

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengambil keputusan drastik dengan merehatkan penyerang importnya dari Argentina, Mauro Olivi daripada sesi latihan dan perlawanan Liga Super bagi beberapa minggu akan datang.

Keputusan itu diputuskan FAS susulan tindakan Mauro yang dilaporkan bergaduh dengan rakan sepasukan, Mohd Hafiz Kamal di bilik persalinan pemain setelah Selangor tewas 1-3 kepada Felda United pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, Jumaat lepas.

Pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari dalam kenyataan memaklumkan nasib Mauro juga akan ditentukan oleh Jawatankuasa Disiplin FAS yang dianggotai panel bebas dimana mereka akan bersidang dalam tempoh terdekat.

"FAS juga menunggu laporan bertulis dari saksi iaitu pemain-pemain dan pegawai yang menyaksikan insiden tersebut sebagai bukti kepada Jawatankuasa Disiplin.Ini bagi memberikan hukuman yang adil kepada individu yang bersalah.

"Justeru, saya meminta semua pihak bertenang dan memberikan ruang secukupnya untuk pengurusan mengambil tindakan susulan," kata Amirudin yang juga Pengerusi Exco Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor.

Beliau menjelaskan walaupun Mauro telah mengaku bertanggungjawab memulakan pergaduhan berkenaan, tindakan disiplin akan tetap diteruskan ke atas pemain berkenaan bagi mengekalkan keharmonian dalam skuad Gergasi Merah.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Super, Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain