suria

Terbuka Filipina: Malaysia Sambar Tiga Emas Hari Terakhir

Hup Wei meraih emas kedua negara.

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga negara menampilkan aksi cemerlang pada Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina selepas meraih tiga pingat emas pada hari terakhir kejohanan di Padang dan Trek Philsports di Pasig City, Filipina, Sabtu.

Emas pertama disumbang oleh Shahidatun Nadia Mohamad Zuki dalam acara lompat kijang wanita menerusi lompatan sejauh 13.18 meter yang juga catatan peribadi terbaiknya manakala seorang lagi atlet negara, R. Kirthana meraih perak dengan lompatan sejauh 12.77 meter, demikian menurut laman sesawang Persatuan Olahraga Filipina (Association;www.philathletics.org).

Untuk rekod, Shahidatun Nadia dan Kirthana turut menyumbang pingat perak dan gangsa dalam acara lompat jauh untuk kontinjen negara pada hari kedua kejohanan pada Jumaat.

Atlet elit kebangsaan, Lee Hup Wei menghadiahkan emas kedua setelah muncul juara acara lompat tinggi lelaki dengan catatan 2.22 meter namun ia masih jauh daripada catatan terbaiknya iaitu 2.27 meter yang dilakar pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Emas ketiga negara disumbang oleh Khairul Hafiz Jantan yang meraih emas acara 200 meter lelaki dengan catatan 21.14 saat manakala pingat perak dimenangi seorang lagi atlet negara, Badrul Hisyam Abdul Manap menerusi catatan 21.37 saat.

Badrul sebelum itu menghadiahkan emas pertama untuk kontinjen negara setelah mengungguli acara 100 meter dengan catatan 10.39 saat manakala Khairul Hafiz meraih perak dengan catatan 10.41 saat pada Jumaat. -Bernama

Olahraga Terbuka Filipina

Artikel Sebelum

Liga Super: Kedah Seri Lagi

Artikel Berikut

Artikel Lain