suria

V Shem-Wee Kiong Mara Ke Separuh Akhir Terbuka India

V Shem (kanan) dan Wee Kiong menggalas cabaran negara ke separuh akhir Terbuka India.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mara ke separuh akhir Siri Super Terbuka India di New Delhi, Jumaat.

V Shem-Wee Kiong yang mahu mengukuhkan kedudukan untuk layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini tewas set pertama 19-21 sebelum bangkit di dua set berikutnya 21-16, 21-13 untuk menundukkan beregu nombor 12 dunia, Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding dari Denmark di suku akhir.

Kemenangan dalam pertarungan hampir sejam itu turut memberi kesempatan untuk V Shem-Wee Kiong yang juga pasangan nombor 14 dunia, menebus kekalahan 15-21, 13-21 di Seluruh England, awal bulan lepas.

Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org, V Shem-Wee Kiong akan berdepan pemenang perlawanan antara Gideon Fernaldi Markus-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia dan Chen Hung-ling-Wang Chi-lin dari Taiwan di separuh akhir pada Sabtu.

Mereka adalah wakil tunggal Malaysia yang masih kekal di kejohanan itu selepas pemain perseorangan utama negara yang juga pilihan pertama, Datuk Lee Chong Wei tersingkir di pusingan kedua pada Khamis.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran di kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah US$300,000 (RM1.174 juta).- BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain