suria

Piala FA: Kedah Lakukan Persiapan Ala Kadar

SKUAD Helang Merah terpaksa melakukan persediaan bagi menghadapi Sabah dalam perlawanan kedua suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini tanpa enam tonggak.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe memberitahu, enam tonggak utama iaitu Baddrol Bakhtiar, Farhan Abu Bakardan Amirul Hisyam Awang Kecik bersama skuad Harimau Malaysia manakala Farhan Roslan, Raphi Azizan dan Muhammad Syafiq Ahmad dipanggil membantu skuad Sukan SEA.

Jelasnya, berikutan itu, beliau tidak mempunyai banyak pilihan untuk melakukan persediaan bagi perlawanan suku akhir Piala FA.

"Latihan persediaan untuk perlawanan Jumaat ini tetap diteruskan walaupun ketiadaan enam pemain yang bersama skuad kebangsaan. Tetapi mereka dijangka pulang pada Rabu untuk perlawanan penting ini.

"Saya yakin enam pemain ini tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk bergandingan semula dengan rakan mereka kerana sudah biasa dengan corak permainan yang diamalkan.

"Saya juga berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh barisan pemain simpanan ketika bertemu Perlis di Kangar Jumaat lalu yang berkesudahan seri 1-1.

"Keputusan bukan menjadi keutamaan tetapi aksi dengan penuh yakin dipamerkan oleh mereka memberi kepuasan kepada saya," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, agenda utama pasukannya ketika menjalani latihan ketika ini ialah menepati sasaran gol kerana ia menjadi masalah besar pasukan Kedah dalam beberapa perlawanan lalu.

Bagaimanapun, bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan itu yakin masalah tersebut akan dapat diatasi secepat mungkin kerana barisan pemain juga sedar kelemahan yang menghantui mereka ketika ini.

"Ketika bertemu Sabah dalam perlawanan pertama suku akhir Piala FA sebelum ini, kita menjaringkan dua gol untuk dapat meraih kemenangan berharga dan memudahkan laluan kita bagi aksi kedua di Alor Setar.

"Oleh itu, dalam perlawanan Jumaat ini, barisan pemain Kedah  tidak boleh selesa dengan kelebihan yang diperolehi sebaliknya perlu mendapatkan gol untuk memastikan kemenangan menjadi milik kita," tegasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain