suria

Negara Jiran Kaji Kemampuan Pemain PPBN Melalui Video

KUALA LUMPUR: Karektor pemain remaja negara yang mengikuti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) mula dikaji oleh pasukan luar berikutan penampilan memberangsangkan ketika menyertai pelbagai program atau kejohanan tahun lalu.

Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar mendedahkan karektor pemain-pemain diintai pasukan luar menerusi media sosial.

"Tahun ini kita mungkin akan mengurangkan memuat naik video-video yang melibatkan skuad PPBN beraksi bagi mengelak pasukan lawan menilai pemain-pemain kita.

"Ketika kejohanan Supermokh tahun lalu, pasukan Thailand mengaku bahawa mereka mengenali pelatih-pelatih negara menerusi video yang dimuat naik di media sosial seperti Facebook atau Twitter.

"Jadi untuk elak daripada terus berlaku, kita akan menggunakan semua pemain muda secara bergilir-gilir," jelasnya ketika ditemui mStar Online.

Dalam pada itu, Safirul turut berbangga kerana  pasukan muda negara sudah dikenali di peringkat antarabangsa selepas pasukan Bawah 14 dijemput oleh Akademi Paris Saint-Germain (PSG) bagi menyertai Kejohanan Liga Utama B14 di Perancis pada Jun ini.

"Hanya pasukan B14 Malaysia dan Ajax sahaja dijemput menyertai 14 pasukan utama dalam kejohanan itu. 

"Bagi saya ia peluang terbaik bagi skuad muda kita menunjukkan bakat di sana kerana mereka kemungkinan akan bermain enam hingga tujuh perlawanan," jelasnya.

Selain itu, skuad B14 bimbingan Lim Teong Kim ini bakal berangkat ke Eropah bagi mengikuti Jelajah Eropah.

"Tahun lalu skuad B13 beraksi di Eropah, tetapi tahun ini peluang skuad B14 tahun pula akan terbang pada 27 Mei ini.

"Beberapa perlawanan persahabatan telah diuruskan dengan akademi-akademi bola sepak terkemuka dunia seperti sebelum ini.

"Mereka akan ke Jerman, Perancis, Switzerland, Austria dan terbaharu Itali.

"Pemain-pemain kita bakal berdepan dengan skuad muda Inter Milan, Juventus serta enam buah pasukan di Itali," jelas Safirul.

Katanya lebih 25 pemain bakal mengikuti Jelajah Eropah ini, manakala pemain-pemain yang tidak terpilih bakal beraksi dalam Festival Bola Sepak Serantau AFC Bawah 14 Tahun Ogos ini.

Artikel Lain