suria

Piala FA: Kedah Buru Jaringan Tempat Lawan

PEMAIN Kedah ditugaskan untuk mendapatkan kelebihan gol tempat lawan sebagai bekalan ketika menentang Sabah dalam saingan suku akhir Piala FA pada Jumaat.

Lebih penting ialah kesebelasan utama yang akan diturunkan di Stadium Likas perlu pulang dengan kemenangan.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, skuad Helang Merah tidak mempunyai pilihan selain menang jika ingin melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA.

"Bertemu Sabah di gelanggang mereka bukan satu tugas mudah, tapi kita perlukan kemenangan atau sekurang-kurangnya jaringan ditempat lawan.

"Kita perlu ada bekalan sebelum beraksi dalam perlawanan kedua di Stadium Darul Aman selepas ini.

"Apa yang perlu dilakukan oleh barisan pemain ialah bermain seperti biasa dan akhiri peluang yang ada dengan jaringan gol supaya kemenangan menjadi milik kita," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, pemain Kedah juga diingatkan supaya tidak memperkecilkan kemampuan Sabah yang beraksi di Liga Premier kerana mereka antara pasukan yang mampu mencipta kejutan dalam Piala FA.

"Seperti yang selalu saya katakan, tidak ada perlawanan mudah untuk dimenangi kecuali kerja keras dan kesungguhan untuk mencapai kemenangan. Ia mesti bermula daripada usaha kesemua pemain.

"Pemain perlu memberi sepenuh perhatian sepanjang permainan itu kerana kelekaan akan membawa padah seperti yang pernah kita hadapi sebelum ini.

"Jangan pedulikan sorakan peminat pasukan tuan rumah, yakin terhadap diri sendiri dan lakukan yang terbaik. Dengan cara ini kita mampu membawa pulang kemenangan sebagai bekalan dalam perlawanan kedua nanti," jelasnya.


Kedah, Sabah, Piala FA, Helang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Lain