suria

Gol Faiz Subri: Fifa Dah Terima Permohonan FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima surat maklum balas daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung pencalonan gol pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri untuk Anugerah Puskas Fifa 2016.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata surat ditandatangani Pemangku Setiausaha Agung Fifa Markus Kattner bertarikh 14 Mac 2016 dari Ibu Pejabat Fifa di Zurich itu, turut mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana menghantar surat kepada mereka dengan dilampirkan salinan video gol berkenaan untuk dinilai badan induk bola sepak dunia itu.

"Walaupun Fifa tidak boleh memberi jaminan gol berkenaan akan menjadi satu daripada 10 calon akhir untuk Anugerah Puskas Fifa 2016, Kattner mengesahkan  gol Faiz itu tetap dipertimbangkan bersama-sama gol menarik lain daripada pelbagai pertandingan seluruh dunia sepanjang tahun ini," kata Hamidin dalam  kenyataan Rabu.

Beliau menjelaskan kandungan surat berkenaan turut menyatakan Fifa akan memberi jawapan balas kepada FAM sekiranya gol Mohd Faiz berjaya tersenarai dalam 10 calon akhir Anugerah Puskas Fifa 2016.

FAM pada 22 Feb lepas, menghantar permohonan rasmi kepada Fifa bagi mencadangkan agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu dipertimbangkan untuk Anugerah Puskas Fifa 2016.

Gol yang melencong cantik sebelum menerjah gawang lawan itu, menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter pada perlawanan Liga Super ketika Pulau Pinang bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, 16 Februari lepas.

Jaringan itu menjadi viral di media sosial dengan ramai pihak menyifatkan ia seakan-akan gol jaringan pemain bek kiri Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada Kejohanan Persahabatan Antarabangsa, Tournoi de France di Perancis pada 1997.

Anugerah Puskas yang diperkenalkan Fifa pada 2009 ialah anugerah untuk gol terbaik sepanjang tahun.-- Bernama

FAM, Faiz Subri, Fifa, Puskas

Artikel Lain