suria

Faiz Subri Terima Anugerah Pemain Terbaik Bulan Februari

GEORGE TOWN: Pemain sensasi Harimau Kumbang, Faiz Subri yang menjaringkan 'gol ajaib' sehingga mendapat perhatian di seluruh dunia baru-baru ini, dianugerahkan pemain terbaik bulan Februari oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) - Asiana.my.

Pencapaian cemerlang yang membanggakan itu membolehkan Faiz membawa pulang wang tunai RM1,500 tajaan MVP Sports Agency, sebuah trofi dan gambar beserta bingkai pemain sumbangan Asiana.my.    

Ketua Eksekutif PFAM - Asiana.my Izham Ismail berkata anugerah itu diberi untuk mengangkat martabat dan menghargai usaha pemain bola sepak profesional di Malaysia. 

"Sesi pemilihan dibuat melalui panel pemilih PFAM – Asiana.my yang terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan dan undian akan dibuka kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia.

"Faiz menerima undian tertinggi mengalahkan empat calon lain iaitu Zah Rahan Krangar (Felda United), Farizal Marlias dan Hariss Harun (JDT) serta Norazlan Razali (Selangor)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah itu di Padang A Universiti Sains Malaysia (USM), Rabu.

Faiz yang ditemui selepas majlis itu berkata beliau tidak menyangka akan menerima pengiktifan itu. 

"Anugerah ini menjadi pendorong dan penyuntik semangat kepada saya dan pemain lain untuk diiktiraf PFAM," katanya yang baru sembuh daripada kecederaan tumit kanan.

Faiz yang direhatkan satu perlawanan Liga Super iaitu ketika Pulau Pinang bertemu Perak minggu lepas, berkata beliau kini bersedia untuk beraksi semula apabila Pulau Pinang bertemu Kelantan Sabtu ini. |

Ketua Jurulatih Pulau Pinang Jacksen Fereira Tiago meletakkan peluang pasukannya untuk menang dengan Kelantan pada perlawanan itu adalah 50-50.

"Kita tahu Kelantan merupakan antara pasukan terbaik dan ini akan menguji kemampuan pemain untuk beraksi dengan lebih baik," kata Tiago.-Bernama

Faiz Subri, PFAM

Artikel Lain