suria

LTdL: Kejayaan Jersi Putih Untuk Rakyat Malaysia - Adiq

Muhammad Adiq Husainie Othman (dua, kiri) jersi putih (juara Asia) di akhir peringkat ketujuh Seremban-Parit Sulong pada perlumbaan Jelajah Le Tour de Langkawi pada Rabu. Foto: Bernama

MELAKA: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhamad Adiq Husainie Othman menyifatkan kejayaannya meraih jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya kejayaannya menjadi pelumba Malaysia pertama menyarung jersi berkenaan sejak edisi pertama LTdL pada 1996 adalah atas kerjasama erat yang diberikan rakan sepasukan, jurulatih serta kru pasukan.

Muhamad Adiq mengekalkan jersi putih dengan catatan masa 28 jam 32 minit dan31 saat keseluruhan selepas lapan peringkat dan dibezakan hanya dua dan tiga saat berbanding dua pencabar terdekat -- pelumba Jepun, Ito Masakazu dari Aisan Racing Team dan Zhao Jingbiao dari Hengxiang Cycling Team.

"Kejayaan ini juga disebabkan latihan persediaan yang dijalankan olehpasukan di luar negara, sebelum ini dan saya berharap dapat meneruskan kecemerlangan pada kejohanan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas LTdL 2016 melabuhkan tirainya di Dataran Pahlawan pada Rabu.

Untuk rekod, Muhamad Adiq pernah menyarung sementara jersi putih pada peringkat kedua LTdL 2015 dari Alor Setar ke Sungai Petani sejauh 185km.

Pada peringkat kelapan yang merupakan peringkat terakhir LTdL 2016 melibatkan jarak sejauh 119km dari Batu Pahat ke Dataran Pahlawan hari ini, pelumba berusia 24 tahun itu menduduki tangga ke-38 daripada keseluruhan 121 pelumba.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kesediaan untuk menyertai mana-mana pasukan pro benua sekiranya menerima tawaran yang sesuai namun menegaskan masih setia bersama TSG yang disertainya sejak 2014.

"Setakat ini saya gembira bersama dengan TSG tapi siapa tahu ada tawaran saya terima dari pasukan luar negara pada masa akan datang," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Muhamad Adiq mengintai peluang kelompok 10 pelumba terbaik keseluruhan pada edisi sulung Jelajah Sarawak dijadual berlangsung dari 16-20 Mac ini yang melibatkan lima peringkat dengan jarak keseluruhan 787.8km.

"Menerusi latihan intensif yang dijalankan di Thailand sebelum ini, saya berharap dapat meraih keputusan positif pada Jelajah Sarawak nanti," jelasnya. -Bernama

LTdL, Muhammad Adiq, Jersi Putih

Artikel Sebelum

Artikel Lain