suria

Presiden Barcelona FC Hasrat Lawat Johor

TMJ menyaksikan sesi latihan kesebelasan utama kelab gergasi Sepanyol itu.

PETALING JAYA: Pertemuan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dengan Presiden Barcelona FC, Josep Bartomeu menunjukkan tanda positif apabila beliau menyatakan hasrat untuk berkunjung ke Johor dalam masa terdekat.

Hasrat itu dimaklumkan semasa lawatan TMJ ke Bandar Sukan Barcelona pada Isnin.

"Bartomeu berhasrat untuk datang berkunjung ke Johor dalam masa terdekat," demikian menurut kenyataan dalam laman Facebook, Johor Southern Tiger.

Semasa lawatan itu, TMJ turut diperkenalkan dengan Ketua Perhubungan Institusi Sukan merangkap Pengurus Bandar Sukan Barcelona,Pere Gratacos Boix untuk membantu JDT dalam apa jua aspek dari segi kepakaran dan falsafah.

TMJ ditemani isterinya semasa lawatan ke Barcelona FC. - foto ihsan FB Johor Southern Tigers.

Malah, Tunku Ismail turut berpeluang menyaksikan sesi latihan skuad utama Barcelona.

Pada Isnin, TMJ yang ditemani isterinya, Che Puan Khaleeda Bustaman melakukan lawatan ke Nou Camp, stadium keramat FC Barcelona.

Barcelona dilaporkan bersedia membuka pintu kepada pasukan JDT untuk berkongsi idea dari segi pengurusan dan falsafah dalam arena bola sepak.

Ia adalah lawatan kedua TMJ selepas bertemu dengan Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi untuk membincangkan tentang masa depan bola sepak Johor pada 26 Februari lalu.

Pertemuan itu diatur sebagai sebahagian daripada rangka lawatan kerja Tunku Ismail untuk pembangunan bola sepak di Johor.


Barcelona FC, JDT, TMJ

Artikel Lain