suria

KL Pendahulu Baharu Liga Perdana

Pemain Kuala Lumpur, Konte Modibo (kiri) cuba melepasi asakan dua pemain Sabah pada saingan Liga Perdana 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Isnin malam. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana daripada UiTM FC selepas menundukkan Sabah 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini pada Isnin malam.

Kemenangan itu melonjakkan mereka ke persada liga dengan 10 mata daripada kedudukan ketiga, sekurang-kurangnya untuk 24 jam kerana pencabar terdekat, Melaka United, hanya akan beraksi esok menentang Negeri Sembilan.

'The Hawks' bermula garang selepas meledak dua gol awal pada minit kedua dan kelima masing-masing menerusi Zhafri Yahya dan pemain dari Brazil, Casagrande.

Namun Sabah berjaya menyamakan kedudukan 2-2 melalui sepakan penalti yang disempurnakan Marco Tulio pada minit ke-70 dan Leopold Otong tiga minit kemudian.

Gol kemenangan Kuala Lumpur dihasilkan Helmi Remeli pada minit ke-82.

Terdahulu, UiTM FC terpaksa akur dengan kehebatan DRB Hicom FC selepas tewas 1-4 pada aksi di Stadium Proton City, Tanjung Malim, sekali gus turun ke tangga kelima liga.

Tuan rumah mendahului pada minit ke-25 menerusi Phillip Lund dan kemudiannya diikuti Ivan Babic pada minit ke-38 yang menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pelawat dalam kotak penalti.

Babic menjadi wira DRB Hicom FC dengan meledak dua gol pada minit ke-43 dan 50 bagi melengkapkan hatrik manakala UiTM FC memperoleh gol saguhati menerusi Pavel Purishkin pada minit ke-72.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, PKNS FC meraih kemenangan kedua mereka dengan menewaskan Sime Darby FC 3-1.

Gol PKNS FC dihasilkan Juan Manuel Cobelli (m61) dan Gabriel Miguel Guerra (m64 dan 88) manakala gol Sime Darby FC dihasilkan Mateo Roskam (m36).

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, jaringan hatrik Paulo Rangel pada minit ke-19, 33 dan 58 membolehkan Johor Darul Ta'azim (JDT) II menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1.

Dua lagi jaringan tuan rumah dihasilkan Mohd Irfan Fazail (m11) dan Mohd Hasbullah (m45) walaupun ATM membuka jaringan melalui Venice Elphi Danny Kaya seawal minit ke-17.

Sementara itu, Perlis mengutip tiga mata selepas menewaskan Kuantan FA 1-0 melalui jaringan Kayne Vincent pada minit ke-74 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

Liga Perdana

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana

Artikel Lain