suria

Liga Super: Perak-Kedah Kongsi Mata

Pemain Perak, Vokhid Shodiev diasak tiga pemain Kedah pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak Sabtu malam. Foto: Bernama
KEDAH terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan walaupun berhasrat mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ketiga Liga Super di Ipoh pada malam Sabtu.

Dalam perlawanan itu, Perak yang turun sebagai tuan rumah berjaya menguasai permainan tetapi pemain pertahanan Kedah dapat mengekang serangan yang dilakukan bagi memburu gol awal.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe hampir memperolehi gol pada minit ke-12, namun cubaan Liridon Krasniqi menggegarkan tiang gol Perak.

Tanpa membuang masa, Perak yang diperkuatkan dengan kehadiran lautan penyokongnya terus melakukan serangan bagi mengutip mata berharga.

Bagaimanapun kedudukan 0-0 kekal sehinggal separuh masa pertama ditamatkan.

Bermula babak kedua, aksi pasukan tuan rumah dan Kedah semakin rancak dengan berbalas serangan, namun masalah penyudah tumpul menjadi penghalang untuk memecah kebuntuan jaringan.

Bagi mendapatkan kemenangan, skuad Helang Merah memasukkan Syafiq Ahmad dan Ahmad Fakri Saarani bagi memperkemaskan lagi jentera serangan.

Bagaimanapun, keampuhan benteng Perak menggagalkan usaha Kedah untuk menggegarkan jaringan pasukan tuan rumah.

Pasukan Perak hampir memperolehi gol ketika perlawanan berbaki 15 minit, malangnya, pertahanan Kedah, Bang Seung Hwan berjaya menghampakan peluang yang dicipta.

Walaupun kedua-dua pasukan kelihatan tidak pernah henti melakukan serangan, namun kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat.

Liga Super, Perak, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Lain