suria

Vida Pertimbang Tajaan RM60 Juta Kepada TRW

KOTA BARU: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sedia mempertimbangkan suntikan dana tambahan sebanyak RM60 juta kepada The Red Warriors (TRW) bagi program pembangunan bola sepak pasukan tersebut untuk tempoh jangka masa panjang.

Namun, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau akan berusaha mencari dana tambahan tersebut selepas memperuntukkan tajaan RM16 juta kepada TRW selama dua musim.

Jelas beliau, terdapat keperluan untuk mencari dana tambahan tersebut selepas menyedari TRW memerlukan perbelanjaan yang besar untuk meneruskan survival dalam sukan bola sepak.

"Jika dengan dana saya ini setakat boleh hidup, kita nak dana yang lebih besar sekiranya mahu berjaya dalam sukan ini. Jadi kita perlu usahakan cari dana lagi, bukan setakat dana yang dihulurkan kerana minat.

"TRW memerlukan suntikan dana yang besar untuk menjadi sebuah pasukan yang digeruni pada musim ini," katanya selepas pertemuan dengan Kafa di sini Jumaat.

Justeru, usahawan wanita kelahiran Machang itu merancang untuk memasarkan produk kecantikan dan kesihatan keluaran syarikatnya, Pamoga Qu Puteh ke peringkat Asia khususnya di negara Timur Tengah.

"Insya-Allah saya akan rancang sesuatu untuk naikkan nama pasukan ke peringkat antarabangsa. Saya sasarkan produk  Pamoga Qu Puteh akan menembusi pasaran di Timur Timur," katanya.

Vida bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perancangan beliau untuk merealisasikan usaha mencari dana tambahan sebanyak RM60 juta itu.

"Saya akan umumkan nanti. Saya perlu hasilkan sesuatu untuk mendapatkan dana tersebut," katanya ringkas.

Sementara itu, Vida memberi jaminan kepada pemain TRW bahawa isu tunggakan gaji tidak akan berlaku lagi pada musim ini susulan penubuhan dana khas (gaji dan penajaan) untuk tujuan tersebut.

Malah beliau berkata pemain tidak perlu bimbang kerana bayaran gaji akan dibayar setiap minggu pertama awal bulan.

"Saya nak gaji pekerja terjaga dan dibayar pada atau sebelum tarikh sebenar iaitu antara 1 hingga 7 haribulan setiap bulan.

"Ini penting untuk pastikan moral pemain di tahap tertinggi. Mereka tak perlu fikir pasal gaji lagi, hanya fokus untuk bermain sahaja dalam usaha tapau tiga trofi musim ini," katanya.

Terdahulu, Kafa mengumumkan wang tajaan Vida kepada TRW akan disalurkan ke akaun kedua yang akan diuruskan oleh sebuah jawatankuasa terdiri daripada tujuh anggota.

Akaun khas tersebut akan digunakan menyalurkan dana tajaan Vida dan urusan pembayaran gaji pemain secara telus.

Pamoga, Qu Puteh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chong Wei Masih Belum Diuji

Artikel Lain