suria

Liga Hoki Remaja: Khaliq Beri Amaran kepada SDBL-UniKL

KUALA LUMPUR: Kapten pasukan UniKL Young Guns Abdul Khaliq Hamirin meminta rakan-rakannya agar mengurangkan kesilapan, serapkan tekanan dan ikut perancangan jurulatih menjelang aksi ketiga bertemu SDBL-UniKL dalam saingan Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Pahat.

Selepas berjaya menjinakkan Olak-PKT dengan kemenangan 4-2 minggu lalu, Khaliq yang juga pelatih Skuad Projek 2016 percaya tiga mata maksimum mampu diraih dengan syarat mengikut segala arahan jurulatih (I Vikneswaran).

"Syukur kami berjaya menebus kekalahan pada aksi pertama dengan menjadikan pasukan Olak sebagai mangsa kebangkitan pasukan.

"Banyak perkara (kelemahan) yang kami berjaya atasi dan kemenangan itu membuktikan persembahan kami makin baik dan meningkat.

"Peningkatan prestasi ini kerana kata-kata dan nasihat dari jurulatih kami yang akhirnya membuahkan hasil. Apa taktikal yang jurulatih suruh kami berjaya ikut dan aplikasikan dalam permainan.

"InshaAllah, kalau kami dapat teruskan macam aksi kedua itu, saya yakin kami boleh menang dalam aksi seterusnya," katanya.

Status UniKL selaku naib juara musim lalu, sedikit tercalar apabila dikejutkan pada aksi pembuka tirai kempen liga apabila dibelasah teruk 6-1 oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolts sekali gus membawa amaran betapa cabaran kali ini lebih getir buat skuad kendalian Vikneswaran itu.

Tersentak dengan kekalahan, mereka bangkit untuk memastikan tiga mata pertama menjadi hak mutlak pasukannya.

Mengakui bakal berhadapan situasi genting ekoran jadual padat yang terpaksa ditempuh oleh pasukannya, Khaliq menegaskan ianya bukanlah batu penghalang untuk memastikan kemenangan kepada pasukan.

"Esok (Jumaat) kami akan lawan SDBL-UniKL dan kemudiannya pada Sabtu bertemu Politeknik Malaysia. Perkara itu (jadual padat) memang susah, tapi kami kena terus main juga. 

"Jadual sudah disusun seperti itu. Jadi apa boleh kami buat, kami kena main juga dan selaku pemain itulah tanggungjawab kami," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain