suria

Vida Jelaskan Sebab Enggan Dedah 33 Syarat Taja Kelantan

PETALING JAYA: Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bukan sengaja mahu membiarkan penyokong The Red Warriors (TRW) terus berteka-teki mengenai 33 syarat tambahan yang dikemukakan dalam perjanjian penajaan pasukan tersebut sebelum ini.

Sebaliknya, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, berkata beliau dinasihatkan peguamnya supaya memperkemaskan syarat-syarat perjanjian tersebut dalam bentuk dokumen rasmi untuk mengelak timbul sebarang masalah di kemudian hari.

"Saya tahu ramai yang tertanya-tanya mengenai syarat tambahan itu tetapi sejujurnya saya tiada niat untuk menyembunyikan perkara ini," katanya kepada mStar Online.

Jelas usahawan kosmetik terkemuka negara itu, beliau  terpaksa menggunakan khidmat sebuah firma guaman untuk menguruskan kontrak perjanjian tersebut selepas timbul isu berkaitan warna jersi TRW.

"Saya tak nak isu seperti ini berulang, jadi saya kena pertahankan hak eksklusif saya sebagai penaja utama," katanya.

Wanita kelahiran Machang itu berkata beliau perlu tegas bagi memastikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memenuhi semua syarat yang termaktub dalam kontrak perjanjian penajaan itu.

"Mungkin orang ingat perempuan tak pandai tentang bola sepak tapi sebenarnya saya kena tegas dalam apa yang saya lakukan.

"Saya nak perkara ini difahami dengan jelas agar tidak timbul masalah. Saya mahu kedua-dua pihak mendapat manfaat iaitu win-win situation menerusi kerjasama ini," katanya.

Beliau berkata satu sidang media khas untuk menjelaskan secara terperinci butiran kontrak penajaan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Insya-Allah segalanya akan dirungkaikan. Saya akan adakan sidang media khas secara tertutup mungkin selepas komitmen dengan Anugerah Juara Lagu (AJL). Tarikh akan saya maklumkan kemudian," katanya.

Tambah Vida, sidang media itu nanti akan turut dihadiri pengurusan tertinggi Kafa.

Vida dan Kafa memeterai perjanjian penajaan secara rasmi TRW selama dua musim pada Jumaat lalu tanpa mendedahkan maklumat terperinci mengenai kontrak tersebut.

Terdahulu, Vida menetapkan dua syarat awal sebelum bersedia TRW iaitu Stadium Sultan Muhammad IV perlu dicat dengan warna merah jambu manakala nama pasukan TRW ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Antara syarat lain Vida adalah jersi utama TRW perlu berasaskan warna merah jambu dan semua pengadil yang mengadili perlawanan Liga Malaysia mesti menggunakan wisel dengan warna tersebut.

Malah, Kafa juga perlu mengadakan kejohanan Piala Datuk Seri Vida bertujuan untuk mencari pemain pelapis.

Selain itu, penubuhan satu jawatankuasa yang terdiri daripada tujuh individu untuk menguruskan akaun khas penajaan dan menandatangani dokumen wang keluar juga antara syarat yang dikemukakan usahawan wanita tersebut.

Tujuh individu tersebut adalah Bendahari Kafa, Nik Aminaldin Jaafar; Dr Vida yang merupakan Penasihat Kehormat Kafa, selain dua penasihat lain, iaitu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Datuk Abdul Fattah Mahmood serta tiga wakil daripada kelab penyokong Kelantan.

Kelantan, Qu Puteh

Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA

Artikel Berikut

Artikel Lain