suria

PJBSM Sedia Jadi Orang Tengah Bantu Ahli Teraniaya - Sathianathan

PETALING JAYA: Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) bersedia menjadi orang tengah bagi membantu anggota persatuan berkenaan yang teraniaya sekiranya mereka dipecat daripada kontrak mereka secara tidak sah walaupun masih mempunyai baki kontrak dengan pasukan masing-masing.

Presiden PJBSM, B. Sathianathan mendapati banyak pihak pengurusan bola sepak tempatan kini lebih gemar menggunakan terma 'direhatkan' sehingga memberi kesan kepada masa depan jurulatih berkenaan yang perlu menanggung komitmen lain termasuk keluarga mereka sendiri.

Beliau memaklumkan pihaknya akan meminta salinan kontrak daripada anggota yang teraniaya sebelum memanjangkan perkara berkenaan kepada peguam yang dilantik persatuan tersebut untuk tindakan susulan.

"Dalam bidang kejurulatihan, tiada istilah 'direhatkan'...Bagi saya, bukan salah Persatuan Bola Sepak Malaysia tetapi salah pengurusan (pasukan masing-masing) yang ditadbir oleh mereka yang tidak tahu mengenai  (undang-undang) bola sepak," katanya pada sidang media di sini, malam Selasa.

Untuk rekod, tujuh jurulatih dilaporkan telah dipecat kepada pengurusan masing-masing, musim lepas termasuk Sathianathan sendiri yang 'direhatkan' oleh Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia susulan prestasi hambar pasukan dalam Liga Malaysia 2015.

Dalam pada itu, Sathianathan yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan menyeru lebih ramai jurulatih tempatan menjadi anggota persatuan berkenaan bagi membolehkan mereka dilindungi dengan skim insurans.

Beliau mendakwa keahlian persatuan berkenaan yang sudah mencapai 300 ahli masih belum menepati kehendak syarikat insurans yang mahu mereka mendapatkan sekurang-kurangnya lebih 400 anggota.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PJBSM Azlan Johar merayu kepada bekas ahlinya untuk kembali menyertai persatuan berkenaan yang sebelum ini kurang aktif walaupun telah ditubuhkan sejak 1994.

Bekas penolong jurulatih skuad Liga Perdana T-Team itu pada masa sama memberi jaminan pengurusan baharu persatuan berkenaan akan berusaha membela nasib bekas anggotanya sekiranya mereka kembali menyertai mereka.

"Kami ingin membetulkan kesalahan (pengurusan) terdahulu dan kami mohon bekas ahli terdahulu memberi peluang kepada kami...Datanglah jadi ahli semula, kami mempunyai presiden yang bagus dan berwawasan dan saya rasa peluang ini harus diberikan kepada beliau," kata Azlan. - BERNAMA

PJBSM, B. Satianathan

Artikel Berikut

Artikel Lain