suria

Pemain Chelsea Perlu Cermin Diri - Hiddink

Guus Hiddink
GUUS Hiddink menggesa skuad Chelsea supaya melihat diri mereka dalam cermin dalam usaha untuk mengubah nasib dan kedudukan goyah mereka dalam musim ini.

Hiddink berkata demikian dalam sidang media pertamanya sejak dilantik menggantikan Jose Mourinho sehingga akhir musim ini selepas jurulatih Portugis itu dipecat.

Chelsea berjuang habis-habisan menewaskan Sunderland pada Sabtu untuk naik ke kedudukan 15 dalam Liga Perdana Inggeris tetapi tetap hanya berbekalkan tiga mata di atas zon penyingkiran.

Hiddink, yang menerajui Chelsea sehingga berjaya membawa kelab itu merangkul Piala FA semasa tempoh interim pada tahun 2009, percaya pemain perlu menganalisis di mana kesilapan mereka selama ini.

Beliau berkata: "Pada Selasa lalu saya telah bercakap sepenuhnya dengan skuad dan sudah tentu kita bercakap sedikit tentang masa lalu dan sebab-sebab mengapa saya di sini dan mengapa prestasi telah menurun.

"Tetapi di sisi lain saya memberitahu mereka bahawa banyak perkara berlaku dalam bola sepak dan saya mahu semua orang melihat cermin - bukan hanya untuk dua saat tetapi melihat lebih lama dan melihat apa yang mereka mampu sumbangkan mulai sekarang.

"Itulah penekanan yang saya berikan kepada mereka - jangan terlalu banyak menoleh ke belakang. Tetapi sudah tentu kita tidak boleh mengabaikan apa yang telah berlaku baru-baru ini jadi saya beritahu mereka sebagai pasukan profesional mereka perlu melihat di cermin dan lihat sama ada anda boleh menjadi sangat kritikal dan memberi yang terbaik dalam diri anda kepada pasukan. Saya mahu melihat ke hadapan.

"Perlu ada keinginan untuk bermain. Jika anda tidak mempunyainya, ketuk pintu bilik saya dan kita akan bercakap, secara ringkas.

"Kita perlu menunjukkan kepada diri kita sendiri, kepada kelab dan kepada peminat bahawa pasukan ini mempunyai keinginan yang besar untuk membersihkan semula rekod setengah tahun lalu dan meningkatkan prestasi untuk perlawanan seterusnya. Jika kita berbuat demikian, kita akan mendapat hasilnya.

Hiddink malu-malu ketika ditanya sama ada beliau berpeluang untuk kekal bersama kelab itu selepas musim ini berakhir.

Beliau berkata: "Apa yang kita telah kita katakan adalah 'sehingga Mei'. Kemudian kita akan lihat.

"Saya tidak sepatutnya berada di pertengahan musim kerana ia bermakna bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

"Tetapi saya gembira kerana dapat kembali - kali terakhir saya di sini adalah beberapa tahun lalu dalam keadaan yang sama dan saya akan cuba untuk membantu sedaya upaya seperti yang diminta.

"Saya tidak perlu berada di sini tetapi saya melakukannya juga. Itu adalah realiti keadaan dan saya gembira berada di sini kerana saya bekerja di sini dulu dan sayangkan kelab. Untuk bekerjasama dengan pemain sentiasa menjadi satu keseronokan.

Guus Hiddink, Jose Mourinho

Artikel Sebelum

Michel Platini Kecewa

Artikel Berikut

Artikel Lain