suria

Ballard Tersingkir Daripada Program 'Kita Juara'

Robert J Ballard

SEPANG: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard tidak terpilih dalam senarai program 'Kita Juara' bagi sukan olahraga.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata perkara itu telah diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama MSN dan KOM pada September lepas.

"Ballard dilantik di bawah kepimpinan lama dan kepimpinan KOM yang baharu ini tidak dapat menerima Ballard. Jadi kita akan guna kepakaran Ballard dalam bidang kecergasan untuk sukan lain," katanya.

Ballard dilantik ketika Datuk Zainal Abidin Ahmad menerajui KOM sebelum Datuk Karim Ibrahim mengambil alih jawatan presiden badan induk itu.

Kehadiran Ballard dalam KOM dikatakan gagal membantu meningkatkan sukan olahraga, malah pencapaian tiga emas pada temasya Sukan SEA Singapura dianggapyang terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu.

Mengulas mengenai desakan KOM kepada MSN untuk membuat keputusan segera berhubung cadangan untuk menggunakan kepakaran dua jurulatih asing, Leo Almando Brown dari Jamaica dan Samuel Kipsang Rono dari Kenya, Shapawi berkata pihaknya akan membuat semakan semula berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata keputusan masih belum muktamad dan pihaknya masih dalam proses mendapatkan maklumat mengenai beberapa calon lain yang boleh disenarai pendek.

Katanya, beliau mahu membuka ruang kepada jurulatih tempatan untuk menceburkan diri dan akan mengadakan perjumpaan dengan KOM bagi membincangkan senarai calon yang terpilih.

"Dua orang jurulatih dari Kenya dan Jamaica sudah ada ... dan kita akan buka ruang lagi supaya boleh pertimbangkan calon lain. Sekarang kita ada Zainal Abas sebagai ketua jurulatih olahraga kebangsaan yang baharu.

"Itu sudah memadai buat masa sekarang... kita tidak terdesak untuk buat keputusan segera. Jurulatih lain masih ada dan latihan masih diteruskan seperti biasa," katanya.

Desakan itu dibuat oleh Presiden KOM yang mahu keputusan dibuat segera bagi memastikan program fasa pertama 'Kita Juara' yang sudah bermula bulan lepas terutama untuk acara pecut dan jarak sederhana tidak terjejas. 

Berdasarkan rekod, Brown adalah jurulatih pecut serta lari berpagar yang pernah membimbing beberapa atlet Jamaica meraih pingat di Sukan Olimpik, antaranya Davian Clarke untuk acara 400 dan 200 meter.

Sementara Kipsang pula pernah membantu Noah Ngeny memenangi pingat emas Sukan Olimpik acara 1500 meter pada tahun 2000.

Artikel Berikut

Artikel Lain