suria

JDT Tewas Kepada Qadsia SC

Aksi perlawanan antara JDT dan pasukan Qadsia SC dari Kuwait. -foto FB Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan laluan sukar untuk layak ke final Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 setelah tumpas 1-3 kepada juara bertahan, Qadsia SC dari Kuwait pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Kelab Sukan Kuwait, pada awal pagi Rabu.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu pada 20 Oktober ini.

Pada perlawanan disiarkan secara langsung itu, Qadsia membuka tirai jaringan pada minit ke-31 menerusi Fuakuputu Doris Salomo yang menanduk masuk bola hasil sepakan sudut rakan sepasukan.

Pasukan tuan rumah menggandakan kedudukan pada minit ke-42 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Bader Al Almotawaa selepas beliau dijatuhkan oleh pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Keputusan 2-0 itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, Qadsia meneruskan asakan ke kubu JDT dan mereka berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-57 menerusi percubaan luar kotak penalti pemain import dari Guinea, Seydouba Soumah.

Skuad Harimau Selatan berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-82 menerusi pemain gantian, Mohd Amri Yahyah yang memanfaatkan hantaran daripada Leandro Velazquez.

Keputusan 3-1 itu kekal sehingga tiupan wisel penamat oleh pengadil, Ko Hyung Jin dari Korea Selatan.


Barisan Pemain:

QADSIA SC: Ahmed Alfadhli, Dhary Saeed, Khaled Ebrahim Hajiah, Rashid Sumaila, Sultan Alenezi, Fahed Al Ebrahim, Bader Al Almotawaa (kapten), Seydouba Soumah, Abdulaziz Alenezi (Ahmad Aldhefiri), Faisal Abdullah, Fuakuputu Doris Salomo (Ahmad J A H Zanki).


JDT: Izham Tarmizi Roslan, Marcos Antonio, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunalan, Muhammad Fazly Mazlan, Safiq Rahim (kapten), Gary Steven Robbat (Mohd Amri Yahyah), Hariss Harun (Amirulhadi Zainal), Mahalli Jasuli, Leandro Velazquez, Safee Sali.

Pengadil: Ko Hyung Jin (Korea Selatan)

Artikel Berikut

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Lain