suria

Tenis Terbuka Malaysia: Albot Kejutkan Pemain Pilihan Kelima

Pemain Moldova Radu Albot beraksi ketika menentang pemain Serbia Viktor Troicki pada kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2015 di Stadium Putra Bukit Jalil, Selasa. Radu Albot menang mengikut kiraan mata 6-2, 7-6 dalam tempoh 1 jam 30 minit. --

KUALA LUMPUR: Pemain tenis dari Moldova, Radu Albot membuat kejutan apabila berjaya mencipta kemenangan  ke atas Viktor Troicki selaku pemain pilihan kelima Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Selasa.

Albot yang kini berada di ranking ke-85 dunia menewaskan Troicki 6-2 7-6 (5) dalam tempoh 1:30:46 saat.

“Saya gembira dapat menghasilkan kemenangan ini. Malah saya mengambil peluang ke atas beberapa kesilapan yang dibuat Viktor.

“Malah bagi saya, perlawanan ini sangat mudah dan langsung tidak memberikannya sebarang peluang, cuma memastikan agar dia sentiasa berada lebih dekat dengan gelanggang,” jelas Albot selepas perlawanan.

Bagi Albot,25, perlawanan pusingan pertama ini tidak memberi sebarang tekanan kepadanya.

“Saya yakin sudah kembali dan bermain bersungguh-sungguh untuk dua set itu.

“Saya tidak berasa tertekan. Saya menjalani latihan di mana-mana sahaja di dunia ini, kecuali di rumah. Ia bukan masalah besar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Albot yang tidak pernah meraih sebarang gelaran dalam acara perseorangan ini berharap agar lebih ramai pemain muda berbakat lahir dari Moldova.

“Saya rasakan kamu mendengar sesuatu yang baharu (Moldova). Ia terlalu jauh dari Malaysia dan tiada siapa tahu di mana letaknya negara ini.

“Berbanding dengan negara Eropah yang lain, mereka mempunyai nama besar, dan bukannya di Moldova. Saya sentiasa perlu keluar dari tempat saya tinggal untuk berlatih. Namun saya gembira kerana tahap permainan semakin meningkat.

“Apa yang saya harapkan, agar dapat mencapai kedudukan ranking yang tertinggi, dan bermain sebaik mungkin. Setiap kali berada di gelanggang, saya akan memberi tumpuan seratus peratus.

“Dan saya juga mengidam agar dapat berada dalam kelompok 50 pemain terbaik secepat mungkin,” tambahnya.

Pada aksi pusingan kedua Rabu ini, Albot bakal berdepan dengan pemain dari Kazakhstan, Kukushkin Mikhail yang menewaskan pemain dari India, Ramkumar Ramanathan 6-2 6-2 sebelum ini.

Dalam pada itu, Troicki mengakui dia tidak beraksi di tahap  terbaik dan belum menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Saya tiba agak lambat dan masih lagi penat, cuba menyesuaikan diri dengan keadaan masa di sini.

“Saya juga tidak sempat mencuba gelanggang utama kerana biasanya saya berlatih di gelanggang kecil, namun itu bukan alasan. Dia lebih baik dari saya dan layak menang perlawanan ini,” jelas Troicki yang menduduki ranking ke-22 dunia.




Rado Albot, tenis, Viktor Troicki

Artikel Lain