suria

Terbuka Korea: Koo/Tan Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Naib juara Kejohanan Dunia 2010, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong menjadi wakil tunggal negara yang meneruskan kemaraan ke suku akhir kejohanan badminton Siri Super Terbuka Korea di Gimnasium Olimpik 2, Seoul, Korea Selatan, Khamis.

Koo/Tan yang merupakan bekas beregu lelaki nombor satu dunia, mempamerkan aksi cemerlang apabila menjinakkan pilihan kelima, Chai Biao/Hong Wei dari China 21-14, 21-12 di pusingan kedua.

Pasangan veteran itu yang memburu gelaran antarabangsa ketiga dan yang pertama dalam Siri Super musim ini, dijadual menentang pilihan keempat Zhang Nan/Fu Haifeng dari China pada aksi suku akhir, esok.

Untuk rekod, Koo/Tan sudah meraih dua gelaran sejak membuat kemunculan semula pada Mei lepas iaitu Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada Jun, disusuli Cabaran Antarabangsa Rusia pada Julai.

Zhang/Fu yang muncul naib juara Terbuka Jepun minggu lepas, terpaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan pasangan tuan rumah, Choi Sol Gyu/Kim Jae Hwan 21-18, 17-21, 21-12 dalam perlawanan yang berlarutan hampir sejam.

Dalam pada itu, beregu lelaki utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas kalah 19-21, 19-21 kepada pilihan kedua yang juga juara dunia, Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan dari Indonesia.

Terbuka Korea, Badminton

Artikel Sebelum

Artikel Lain