suria

PPBN: QPR Lantik Lim Teong Kim Pengarah Teknikal Asia

KUALA LUMPUR: Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim dilantik sebagai Pengarah Teknikal di Asia untuk kelab di liga Inggeris, Queens Park Rangers (QPR).


Pelantikan itu seiring dengan pengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama QPR bagi program pembangunan jangka panjang bersama yang lebih komprehensif.

"Inisiatif ini akan dapat membantu misi PPBN dalam mencapai semua matlamat yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang meliputi beberapa teras strategik pembangunan termasuklah melahirkan pemain berkualiti tinggi di seluruh pelusuk negara," jelas satu kenyataan PPBN pada Khamis.

Kerjasama ini turut menyaksikan QPR bakal menghulurkan bantuan kewangan, teknikal dan lain-lain program pembangunan jangka panjang bersama yang menyeluruh.

"Queens Park Rangers merupakan rakan PPBN yang pertama selepas pelancarannya pada tahun 2014 dan telah membantu menubuhkan 80 pusat-pusat latihan di bawah PPBN setakat ini.

"Sekurang-kurangnya 15,000 kanak-kanak berumur 7 hingga 17 tahun kini sedang dilatih oleh 700 jurulatih PPBN di pusat-pusat tersebut.

"Malah Queen Park Rangers komited dalam menjayakan matlamat jangka masa panjang PPBN dan akan terus memperkasakan program bagi menjadikannya satu realiti," jelasnya.

Pengumuman bersejarah ini dilakukan ketika Program Jelajah United Kingdom melibatkan skuad bawah 13 tahun PPBN telah diperkenalkan sebelum sepak mula perlawanan liga di antara QPR dan Blackburn Rovers di Stadium Loftus Road pada awal pagi Khamis.

Pada tahun lepas, dengan bantuan QPR, mereka telah menjelajah ke United Kingdom dan menewaskan pasukan-pasukan Liga Inggeris seperti Reading, Ipswich, Tottenham Hotspur dan Chelsea.

Bagi skuad tahun yang sama telah beraksi di Jerman, Austria, Sepanyol dan Portugal.

Secara keseluruhan, 21 perlawanan berjaya dimenangi, 2 kali seri dan kalah sekali kepada Paris Saint Germain (PSG) dari 24 perlawanan yang telah mereka hadapi.

Pencapaian yang diraih akhirnya dilengkapkan dengan kejuaraan apabila mereka muncul juara bagi Piala Iber di Costa Del Sol, Sepanyol ketika dalam misi Jelajah Eropah Julai lalu.

PPBN, Lim Teong Kim, QPR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain