suria

MSN Kecewa Tidak Ramai Atlet Terjun Layak Ke Rio Lebih Awal

Pandelela Rinong

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) kecewa kerana tidak ramai penerjun negara yang menempah tiket ke Sukan Olimpik 2016 ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-16 di Kazan, Rusia baru-baru ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kegagalan itu menyebabkan proses persediaan untuk ke Rio de Janeiro, Brazil akan bermula lebih lewat dan boleh memberi kesan kepada program persediaan atlet terbabit.

"Bila dapat melayakkan diri lebih awal, kita mempunyai tempoh setahun untuk membuat persiapan termasuk memulihkan kecederaan atau sebagainya.

"Tapi sekarang, kita perlu melalui proses lain untuk melayakkan diri. Atlet perlu melalui lagi proses kelayakan selagi gagal melayakkan diri.

"Jadi itu rugilah kerana banyak masa kita dah habiskan (untuk melayakkkan diri)," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad dodgeball negara ke Kejohanan Dunia di Las Vegas pada 15 dan 16 Ogos ini.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong meraih tiket ke Sukan Olimpik selepas mara ke pusingan akhir acara 10 meter platform individu di Kazan, sebelum Wendy Ng Yan Yee mengikut jejaknya dua hari kemudian apabila melangkah ke final 3m papan anjal individu.

"Kita sebenarnya mengharapkan lebih ramai lagi yang layak di kejohanan itu tapi kini perlu menunggu lagi kejohanan akan datang untuk cuba melayakkan diri.

"Inilah yang agak mengecewakan walaupun kita gembira dengan pencapaian Pandelela dan juga Wendy," katanya.

Menurut Ahmad Shapawi, skuad terjun negara mempunyai rekod penyertaan terbaik di Sukan Olimpik apabila mempunyai wakil dalam hampir semua kategori.

Dalam pada itu, beliau berharap atlet terjun negara dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada Siri Grand Prix Terjun FINA yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 23 hingga 25 Oktober depan.

"Kita akan bincang dengan jurulatih bagaimana proses seterusnya untuk memastikan penerjun kita layak ke Olimpik," katanya.

Sukan Terjun, Olimpik Rio

Artikel Lain