suria

Kafa Ancam Tarik Diri Jadi Ahli Gabungan FAM

Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengancam menarik diri daripada naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan tidak berpuashati dengan arahan pembayaran pampasan kepada bekas ketua jurulatih The Red Warriors.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menerusi entri terbaharu laman Facebooknya berkata beliau tidak puas hati dengan arahan FAM yang mengarahkan persatuan itu membayar wang pampasan mencecah ratusan ribu kepada Steve Darby.

Darby sebelum ini dilaporkan menuntut wang pampasan susulan pemecatannya pada 2014.

"Jika inilah keadaannya berterusan, eloklah KAFA berundur daripada menjadi ahli gabungan FAM dan mengkaji prospek membuat liga atau persatuan lain tanpa bernaung di bawah FAM," kata Annuar.

Isnin lepas, FAM dilaporkan mengarahkan KAFA menjelaskan gaji tertunggak Darby berjumlah RM636,000 yang dikatakan bermula dari April 2014 sehingga November 2015.

Perkara itu diputuskan FAM dalam mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain di Wisma FAM tanpa kehadiran wakil Kafa.

Kafa diarahkan membuat bayaran penuh kepada Darby dalam tempoh 14 hari dari surat FAM yang dijangka dikeluarkan minggu ini atau minggu depan.

Jurulatih berusia 60 tahun itu yang kini merupakan Pengarah Teknikal Persekutuan Bola Sepak Laos, membimbing pasukan Kelantan bermula 15 November 2013 sebelum dipecat pada April 2014 susulan prestasi hambar Kelantan dalam saingan Liga Malaysia.-- Bernama

Kafa, Annuar Musa, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain