suria

F1: Penghormatan Terakhir Untuk Bianchi Di Hungary - Rosberg

Rosberg (kanan) memberi penghormatan terakhir kepada Bianchi pada majlis pengkebumian pelumba itu di Nice, Perancis Selasa lalu.

PELUMBA Formula Satu (F1) Mercedes, Nico Rosberg menggesa rakan-rakan pemandu daripada skuad lain mengharungi saingan Grand Prix (GP) Hungary pada hujung minggu ini dengan penuh bersemangat sebagai tanda penghormatan mereka terhadap Jules Bianchi.

“Minggu ini dipenuhi dengan emosi. Para pelumba telah memberikan penghormatan terakhir dan mengucapkan selamat tinggal kepada Bianchi. Mendiang merupakan pemandu yang sangat berbakat dan amat baik. Fikiran serta ingatan saya dalam tempoh beberapa hari ini sentiasa bersama keluarga dan rakan-rakannya.

“Semua orang berkongsi perasan yang sama walaupun sibuk bekerja di litar pada sepanjang minggu ini. Walaupun sedih, kami semua perlu meneruskan tugas sebagai pelumba dan melakukannya de­ngan bersungguh-sungguh seperti yang selalu dilakukan Bianchi,” ujar Rosberg.

Pada Oktober lalu, Bianchi yang memandu jentera skuad Marussia mengalami cedera parah di bahagian kepala selepas merempuh jentolak yang sedang mengalihkan jentera pemandu lain yang terbabas ketika saingan GP Jepun di Litar Suzuka.

Bianchi,26, meninggal dunia di kediaman keluarganya di Nice, Perancis.

Dalam pada itu, Rosberg yang menamatkan saingan GP Britain di tempat kedua pada tiga minggu lalu kini melancarkan misi merampas semula gelaran juara di Hungary.

Rosberg berharap dapat menyumbang keputusan positif kepada Mercedes pada aksi perlumbaan minggu ini selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keempat ketika edisi tahun lalu.

“GP Hungary adalah seperti perlumbaan terakhir sebelum kami dapat berehat lama. Saya akan cuba melakukan yang terbaik, memperbaiki keputusan sebelum ini.

“Keadaan litar ini agak sukar kerana sempit, banyak selekoh bahaya dan panas. Keputusan perlumbaan tahun lepas (di Hungary) agak teruk dan saya mahu bawa pulang sesuatu yang positif,” tambah Rosberg.

Jules Bianchi, Nico Rosberg

Artikel Lain