suria

Kejayaan PPBN Perlu Dijadikan Contoh - Tengku Abdullah

RAUB: Kejayaan Skuad bola sepak Bawah 13 (B-13) Malaysia yang melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa del Sol 2015 di Sepanyol pada Sabtu lalu diharap dapat membukalebaran baharu kepada program pembangunan bola sepak di negara ini. 

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kemenangan itu satu pencapaian yang membanggakan dan perlu dijadikan contoh oleh persatuan bola sepak negeri untuk program pembangunan bola sepak di negeri masing-masing. 

"Saya memang berharap program seperti ini dapat diteruskan dan dapat menghasilkan pemain yang berdisiplin serta berwibawa. 

"Persatuan bola sepak negeri boleh mencontohi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) ini dengan adakan program seumpamanya untuk kebaikan jangka masa panjang," titah baginda. 

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas mencemar duli melawat tapak UiTM Cawangan Raub pada Ahad.

Tengku Abdullah bertitah walaupun tidak mempunyai kewangan yang banyak, namun FAM dari semasa ke semasa akan cuba membantu persatuan bola sepak negeri untuk melaksanakan program pembangunan bola sepak negeri, demi melahirkan lebih ramai pemain yang berwibawa. 

Skuad B-13 muncul juara kejohanan bola sepak berprestij remaja peringkat dunia setelah membenam kelab Portugal, Sporting Lisbon 2-1, Sabtu lepas. 

Skuad kendalian Lim Teong Kim itu ditubuhkan pada 2014 hasil cetusan idea Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin diharap dapat membuka lebaran baharu kepada program pembangunan bola sepak di negara ini.
PPBN, Tengku Abdullah, FAM

Artikel Berikut

Artikel Lain