suria

Venue Sukan SEA 2017 Bakal Diumum Mac Tahun Depan - Tunku Imran

KUALA LUMPUR:  Venue acara sukan apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 dijangka diketahui menjelang Mac tahun depan, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar. 

Beliau berkata pada masa ini, pemilihan venue-venue berkenaan masih diperingkat perbincangan.

"Venue-venue belum diputuskan. Kebanyakannya di Kuala Lumpur, namun Terengganu mungkin untuk acara ekuestrian dan kapal layar di Pulau Langkawi dan kemungkinan (kami) menawarkan kepada Sabah dan Sarawak (menganjurkan) satu atau dua acara.

"Keputusan belum dibuat sehingga Mac tahun depan iaitu 18 bulan sebelum Sukan SEA 2017. Pada masa ini, tiada yang disahkan lagi," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis MOM ke-175 di Wisma MOM pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata persatuan sukan kebangsaan perlu memastikan sukan masing-masing mampu meraih lebih banyak pingat emas pada edisi 2017, sekali gus mengatasi pencapaian pada Sukan SEA 2001 ketika Kuala Lumpur menjadituan rumah temasya sukan itu.

"Kami belum memuktamadkan acara sukan dan persatuan sukan masih mempunyai masa merangka program kepada atlet mereka. Bagaimanapun, mereka perlu yakin peluang raih pingat emas pada Sukan SEA akan datang adalah cerah.

"Kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan begitu bersungguh meraih pingat dan mengatasi kutipan 111 pingat emas yang diperoleh semasa temasya 2001.

Pemilihan jenis sukan dan acara adalah sangat penting," katanya.

Sementara itu, Tunku Imran berkata Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-27 di Myanmar dua tahun lepas, telah menyelaraskan keputusan rasmi pingat gangsa acara 4x100m rampaian lelaki, diberikan kepada perenang Malaysia yang terdiri daripada Tern Jian Han, Shaun Yap, Daniel Bego dan Lim Ching Hwang. 

Keputusan tersebut dibuat berikutan penarikan balik pingat emas daripada pasukan Indonesia apabila perenang mereka didapati positif dalam ujian doping.

Pingat emas dan perak acara berkenaan, masing-masing diberikan kepada Singapura dan Thailand.

Berikutan keputusan itu, jumlah kutipan rasmi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2013 ialah 43 pingat emas, 38 perak dan 78 gangsa.

Sukan SEA 2017 Malaysia

Artikel Lain