suria

Liga Hoki Dunia: Malaysia Kalah 2-0 Kepada Belgium

Malaysia sebelum ini mengalahkan China 3-2 pada perlawanan pembukaan dan diikuti kemenangan 4-2 ke atas Ireland.

KUALA LUMPUR: Malaysia gagal mengekalkan rentak kemenangan pada dua perlawanan sebelum ini apabila kalah 2-0 kepada pasukan tuan rumah, Belgium, pada saingan Kumpulan B di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium, malam Jumaat.

Kekalahan pertama selepas tiga perlawanan menyaksikan anak buah Tai Beng Hai turun ke tangga kedua dalam kumpulan dengan enam mata manakala Belgium melonjak ke tangga teratas dengan tujuh mata.

Bagaimanapun, pada perlawanan di Stadium KHC Dragons, skuad negara dengan gelaran "The Speedy Tigers' memberi aksi terpuji apabila memberi tentangan sengit kepada pasukan ranking keempat dunia itu pada dua suku pertama perlawanan.

Penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin menampilkan aksi cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan daripada Tanguy Cosyns dan Florent van Aubelbagi menafikan peluang sebelum babak pertama berakhir. 

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah itu bangkit pada suku ketiga perlawanan dengan dua jaringan pantas oleh Dorain Thiery dan Simon Gougnard.

Percubaan awal berjaya digagalkan oleh Roslan tetapi bola disambut oleh Thiery dan melakukan penyudahan pada minit ke-38 sebelum Gougnard melakukan jaringan seminit kemudian.

Malaysia mempunyai peluang emas pada minit ke-50 menerusi percubaan pukulan sudut penalti tetapi ketua pasukan, Muhammad Razie Abdul Rahim gagal menyempurnakan pukulan ke sasaran.

Malaysia, Great Britain dan Belgium sudah pun mengesahkan kedudukan ke suku akhir namun penentuan tempat dalam kumpulan belum muktamad dengan baki satu perlawanan peringkat kumpulan, Ahad ini.

Malaysia akan melengkapkan jadual kumpulan dengan menentang Great Britain, Ahad ini. 

Sebelum ini, Malaysia mengalahkan China 3-2 pada perlawanan pembukaan dan diikuti kemenangan 4-2 ke atas Ireland.

Malaysia perlu memburu tiga tempat teratas dalam kempen kali ini untuk layak ke Sukan Olimpik Rio de Janerio, Brazil, tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain