suria

Van Persie Harap Tersenarai Kesebelasan Utama United Musim Depan

Robin Van Persie

MASA depan Robin Van Persie masih lagi samar, bagaimanapun penyerang Manchester United itu berharap dapat diberi tanggungjawab sebagai pemain utama pada musim hadapan.

Kapten pasukan Belanda itu menjelaskan dia akan berjuang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama United pada musim hadapan dan tidak mahu diletakkan di bangku simpanan.

Keputusan mengenai masa depan Van Persie masih belum diputuskan dan United kini sedia mendengar tawaran daripada beberapa kelab untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 31 tahun itu.

Van Persie gagal menyerlah di United selepas berjaya menjaringkan 30 gol pada musim pertamanya dan kini berada pada tahun terakhir kontraknya tetapi menegaskan dia masih mampu beraksi di peringkat tertinggi.

"Adakah saya risau? Tidak, saya berasa sangat tenang sekarang dan saya mempunyai kontrak bersama United sehingga 2016.

"Situasi mungkin akan berubah dan itu semua bergantung kepada Manchester United tetapi saya tenang mengenai perkara itu.

"Saya akan berumur 32 pada Ogos tetapi saya mempunyai cita-cita untuk bermain selama lapan tahun lagi," kata bekas kapten Arsenal itu.

Van Persie mengakui dia mungkin tidak mampu untuk beraksi di peringkat tertinggi beberapa tahun lagi tetapi yakin mampu menunjukkan prestasi terbaik pada musim hadapan.

"Beraksi dalam kesebelasan utama adalah perkara penting bagi saya dan mungkin saya tidak mampu beraksi cemerlang apabila sudah berumur 36 atau 37 tahun tetapi bukan sekarang.

"Saya sentiasa menjadi pemain utama di United apabila tidak menghadapi kecederaan dan orang ramai sering memperkatakan tentang masalah kecederaan saya tetapi ia hanya berlaku sekali sahaja musim ini," katanya.

Van Persie menjelaskan dia tidak mahu membuat keputusan terburu-buru mengenai masa depannya dan tidak terfikir mengenai persaraan dari sukan bola sepak.

"Saya lihat banyak pemain yang mengambil keputusan untuk bersara lebih awal dan akhirnya mereka menyesal atas keputusan yang dibuat.

"Lihatlah Paul Scholes yang masih terus berlatih walaupun telah bersara kerana dia masih mampu bermain di peringkat tertinggi," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain