suria

Sukan SEA: Malaysia Terus Kuasai Acara Terjun

Nur Dhabitah Sabri (kanan) bersama Ng Yan Yee menunjukkan pingat emas yang mereka menangi dalam acara terjun 3 meter papan anjal seirama wanita pada temasya Sukan SEA ke-28 di Pusat Akuatik OCBC, Isnin.

SINGAPURA: Malaysia terus menguasai acara terjun pada Sukan SEA Singapura hari ini dan menduduki tempat teratas dengan meraih enam pingat emas, dua perak.

Pasangan Ng Yan Yee-Nur Dhabitah Sabri meraih pingat emas kelima untuk Malaysia melalui acara papan anjal 3m berirama wanita di OCBC Aquatics Centre di sini.

Pasangan itu mengumpul 292.62 mata untuk mengatasi pasangan Singapura AshleeTan-Fong Kay Yian (242.94) dan pasangan Vietnam Ngo Phuong Mai-Hoang Le Thanh Thuy (227.94).

"Setelah kami digandingkan untuk julung kalinya pada Sukan Komanwel (di Glasgow, Scotland), jurulatih kami melihat wujud keserasian antara kami dan sejak itu, kami terus menjalani latihan bersama untuk acara ini.

"Saya gembira kerana memenangi pingat emas kedua saya pada Sukan SEA,walaupun melalui acara berlainan," kata Nur Dhabitah.

Penerjun berusia 15 tahun itu memenangi pingat emas ketika berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara platform 10m berirama pada sukan SEA Myanmar 2013.

Ooi Tze Liang pula memenangi pingat emas ketiganya melalui acara platform 10m individu hari ini.

Atlet ini mengumpul 415.50 mata untuk mengatasi rakan sepasukan, Chew Yiwei (393.65) dan penerjun Singapura Jonathan Chan (356.55).

"Saya gembira kerana meraih pingat emas ketiga, walaupun terjunan saya tidak begitu baik. Tiga terjunan pertama ok, tapi terjunan berikutnya tidak begitu stabil.

"Setelah tiga hari bertanding, saya rasa agak letih, tetapi saya akan cuba mempamerkan persembahan terbaik pada pusingan akhir esok," kata penerjun berusia 21 tahun dari Pulau Pinang itu.

Pada Selasa, pemenang pingat emas Sukan Komanwel ini akan bersaing dalam acara papan anjal 3m lelaki.

Sukan Sea, Terjun

Artikel Lain