suria

Suspek Kes Rasuah Fifa Berdansa Beberapa Jam Selepas Dibebaskan

Jack Warner yang sedang berhadapan dengan dakwaan menerima rasuah berjuta-juta dolar Amerika untuk menentukan siapa menjadi hos Piala Dunia 2010 didapati berdansa dan memberikan ucapan penuh tenaga beberapa jam selepas dia dibebaskan dengan membayar bon jaminan yang besar. Sebelum dibebaskan dia mengadu kepenatan.

> Bekas Naib Presiden Fifa Jack Warner dirakamkan berdansa dalam satu majlis politik selepas dibebaskan

> Dia dibenarkan keluar dari penjara selepas mengadu kepenatan dan membayar bon jaminan

> Ditahan Rabu lalu atas permintaan Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI) atas dakwaan rasuah

> Skandal ini mengoncang kredibiliti badan sukan terbesar dunia itu

> Tapi Warner membidas dengan bertanya kenapa hanya pemimpin dari Dunia Ketiga yang jadi mangsa dakwaan

SUSPEK kes rasuah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang juga bekas naib presidennya, Jack Warner didapati berparti dan berdansa hanya beberapa jam selepas dia dibebaskan dari penjara selepas membayar bon jaminan.

Dia telah dibawa keluar dari Penjara Trinidad di mana dia sedang ditahan selepas mengadu yang dia kepenatan dan membayar bon jaminan berjumlah AS$395,000.

Mahkamah mengarahkannya menyerahkan pasport kepada pihak berkuasa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran dengan kediamannya setiap dua kali seminggu.

Pegawai Kehakiman, Ibrahim Ali berkata, pihak berkuasa membebaskan Warner, 72, selepas dia membayar bon jaminan dan mengadu kepenatan dan memerlukan kawasan yang selesa untuk berehat.

Peguam Negara Trinidad, Garvin Nicholas berkata, Jabatan Undang-Undang Amerika diberi tempoh dua bulan untuk menyiapkan dokumen ekstradisi ke atas bekas naib presiden Fifa itu.

Beliau juga mengesahkan yang pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Undang-Undang Amerika Syarikat selama dua tahun untuk menyiasat kes ini sebelum dakwaan formal ke atas Warner dilakukan.

Rabu lepas, Warner telah ditahan atas permintaan Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI) atas lapan dakwaan rasuah yang melibatkan wang berjumlah berjuta-juta dolar Amerika dalam kes korupsi yang paling besar dalam sejarah Fifa.

Antara lain dia didakwa menerima tiga suapan berjumlah AS$10 juta pada tahun 2008 daripada seseorang yang berpangkat tinggi dalam Fifa. Wang itu telah didepositkan ke dalam satu akaun di Amerika Syarikat yang dikawal oleh Warner.

Menurut pihak berkuasa, wang tersebut ditawarkan untuk memperolehi sokongan Warner supaya mengundi Afrika Selatan hak untuk menganjurkan Piala Dunia 2010. Pesaing Afrika Selatan untuk temasya 2010 ialah Magribi.

Dia dijadualkan untuk dibicarakan di Amerika Syarikat Julai nanti.

Bagaimanapun beberapa jam selepas dibebaskan, dia telah dilihat dan dirakamkan sedang berdansa dan meraikan sesuatu dalam satu majlis anjuran parti politik yang diwakilinya sambil memberi ucapan yang bertenaga mempertahankan dirinya sebagai mangsa kerana berasal dari negara Dunia Ketiga.

"Jika saya dituduh mencuri wang Fifa selama 30 tahun, saya ingin bertanya, siapa yang menyuap duit itu? Kenapa orang yang menyuapnya tidak didakwa sedangkan saya didakwa? Kenapa hanya mereka dari Dunia Ketiga sahaja yang menjadi mangsa pendakwaan ini?" tanyanya dalam nada yang bertenaga, sambil menerima tepukan dan sorakan daripada orang ramai yang hadir untuk mendengar ucapannya itu.

Warner pada masa yang sama adalah ahli parlimen yang mewakili sebuah parti pembangkang di kawasannya itu.

Warner kemudian berkata, sekiranya para pendakwa dari Amerika mahu meneruskan pendakwaan ke atasnya, mereka juga harus melakukan perkara yang sama ke atas presiden Fifa, Sepp Blatter.

"Dia adalah presiden...kenapa hanya saya yang didakwa," ujar Warner apabila ditanya oleh wartawan BBC apakah wajar Blatter juga turut didakwa.

Blatter pada Jumaat, dalam ucapannya pada Kongres Tahunan Fifa di Zurich menuduh, dakwaan rasuah AS$100 juta itu adalah satu tindakan konspirasi ke atas Fifa dan dirinya selepas Amerika Syarikat serta England gagal memenangi bidaan untuk menjadi hos dalam dua kejohanan Piala Dunia yang akan datang.

Bidaan tersebut dimenangi oleh Rusia untuk temasya 2018 dan Qatar pada 2022.

Jack Warner, Sepp Blatter, Fifa, Trinidad, FBI

Artikel Lain