suria

Aaliyah: Anak Kesayangan Luncur Air Sukan SEA Kini Berusia 11 Tahun

Aaliyah tekun menjalani latihan sebagai persediaan temasya Sukan SEA yang bermula minggu depan.

PETALING JAYA: Dia adalah anak kesayangan skuad Sukan SEA Malaysia empat tahun lalu di Indonesia apabila mencatat sejarah sebagai atlet termuda pernah memenangi pingat emas (dalam acara luncur air) iaitu pada usia lapan tahun.

Tetapi kini, atlet kanak-kanak itu, Aaliyah Yoong Hanifah  sudah pun berusia 11 tahun dan sekali lagi kehadirannya bakal mencuri perhatian ramai di Sukan SEA yang bakal berlangsung di Singapura bulan depan.

Acara luncur air tidak dipertandingkan pada temasya 2013 di Myanmar.

Satu perbezaan yang ketara dari segi penyertaan Aaliyah ialah, empat tahun lalu, dia adalah atlet junior tetapi kali ini, kehadirannya adalah sebagai atlet senior dalam skuad Malaysia.

Jika empat tahun lalu, Aaliyah diiringi oleh abangnya Alex Yoong dan kakaknya, Philippa tetapi kali ini, dia pula akan memainkan peranan sebagai kakak apabila kehadirannya diiringi oleh dua orang adiknya iaitu Aiden, sembilan dan Adam yang berusia tujuh tahun.

Kedua-dua adik lelakinya itu akan membuat penyertaan sulung dalam acara yang sama iaitu luncur air di peringkat Sukan SEA.

Aaliyah sedar, sebagai atlet senior kali ini, harapan besar berada di atas bahunya dan Malaysia mengharapkan dua pingat emas daripada dirinya sendiri.

"Empat tahun lalu, saya tidak sedar pun betapa besarnya temasya ini kerana saya masih seorang kanak-kanak. Oleh itu saya tidak merasai sebarang tekanan. Tetapi kini saya sudah berusia 11 tahun dan sedar yang saya akan bertanding dalam Sukan SEA," ujarnya.

Aaliyah yakin yang dia bakal membawa pulang dua pingat emas dan meletakkan sasaran gangsa untuk satu acara lagi.

Acara luncur air akan bermula pada 5-16 Jun di Ampangan Bedok.


Artikel Berikut

Artikel Lain