suria

Final Piala FA: Lima Beradik Hang Tuah Antara Penyokong

KUALA LUMPUR: Di sebalik lautan merah putih yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada petang Sabtu, terselit lima sahabat yang menarik perhatian penonton final Piala FA antara pasukan Kelantan menentang Lions XII dari Singapura.

Mereka ialah lima pemuda yang berpakaian seperti pahlawan Melayu sebagai simbolik kepada menyokong pasukan kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah.

Muhammad Syahrul Muin, 20, berkata perlawanan itu dianggap sebagai pertembungan antarabangsa kerana melibatkan pasukan dari dua negara berlainan.

"Kami memakai pakaian tradisional seperti pahlawan Melayu kerana kami ingin mempersembahkan dan menunjukkan sokongan kami bukan sahaja kepada Kelantan tetapi Malaysia

"Kami mengikut konsep lima pahlawan bersaudara seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu, dan Hang Kasturi.

"Pada perlawanan akhir sebelum ini kami memggayakan pakaian pengantin jadi kami ingin membuat kelainan pada final tahun ini, " kata syahrul.

Seorang penyokong pasukan Selangor iaitu Radzi Hashim, 25, pula hadir bagi menyokong pasukan Kelantan kerana mahu Piala FA tidak dibawa ke luar negara.

"Saya penyokong Red Giants, tapi hari ini saya akan sokong Kelantan kerana mereka mewakili negara kita untuk bersaing dengan wakil Singapura.

"Walaupun Piala FA bukan satu pertandingan antarabangsa tetapi penting bagi memastikan skuad yang mewakili negara menang," tegasnya.

Piala FA, Kelantan

Artikel Lain