Legenda Barcelona Xavi Umum Tinggalkan Kelab - Sukan | mStar

Legenda Barcelona Xavi Umum Tinggalkan Kelab

Xavi selaku kapten meraikan kemenangan Piala Eropah bersama rakan sepasukannya penjaga gol Victor Valdes yang kini bermain untuk Manchester United.

> Akan sertai kelab Qatar, Al-Sadd musim depan

> Xavi memenangi 23 trofi sepanjang 24 tahun bersama kelab Catalan itu

> Barca sebenarnya menawarkan kontrak baru tapi dia enggan terima

KAPTEN Barcelona, Xavi Hernandez mengumumkan pada Khamis yang dia akan meninggalkan kelab itu sebaik sahaja musim ini selesai untuk menyertai kelab Qatar, Al-Sadd musim depan - sekaligus menamatkan ikatannya selama 24tahun dengan juara La Liga itu.

Beliau mencatatkan sejarah sebagai pemain paling lama berkhidmat dengan Barca, menyertai kelab tersebut ketika berusia 11 tahun.

Pemenang Piala Dunia bersama Sepanyol, Xavi yang kini berusia 35 tahun telah bermain lebih 500 perlawanan untuk kelab tersebut dengan memenangi 23 trofi termasuk tiga piala Juara-Juara Eropah dan lapan kejuaraan liga.

"Saya ingin mengumumkan dan mengesahkan yang saya akan meninggalkan kelab ini sebaik sahaja musim ini selesai. Keputusan ini adalah muktamad tetapi sukar untuk dibuat," ujarnya dalam satu sidang akhbar pada Khamis.

Xavi berkata yang dia telah berkhidmat untuk kelab ini selama hampir 25 tahun dan telah tiba masanya untuk dia berubah angin.

"Saya mempunyai projek yang mengujakan di Qatar iaitu bersaama Akademi Aspire dan akan bermain untuk Al-Sadd selama dua musim bermula musim depan. Selepas itu saya berhasrat untuk menjadi seorang jurulatih atau pengarah bolasepak dan ini adalah peluang terbaik untuk ke arah itu," katanya lagi.

Tetapi suatu hari kata Xavi dia berhasrat untuk kembali dan berkhidmat untuk Barca.

"Barca sebenarnya telah menawarkan penyambungan kontrak sehingga Jun 2018 kepada saya tetapi saya telah pun membuat keputusan. Saya tidak dapat meminta lebih daripada apa yang telah diberikan oleh Barca kepada saya. Saya sangat terhutang budi kepada kelab ini dan juga kepada para peminat serta penyokong setia saya sepanjang saya berada di sini," katanya.

Xavi adalah produk akademi remaja Barcelona yang kemudiannya berjaya meloloskan diri dalam pasukan utama pada  1998 dan gandingannya bersama Andres Iniesta telah menjadi tunjang utama pasukan itu untuk tempoh beberapa tahun.

Dia menamatkan karier antarabangsanya pada musim lalu selepas mewakili Sepanyol sebanyak 133 kali dengan memenangi Piala Dunia 2010 dan Kejohanan Negara-Negara Eropah dua kali iaitu pada 2008 dan 2012.

Xavi menitiskan air mata selepas mereka menang 1-0  ke atas Atletico Madrid untuk muncul juara La Liga bagi kali yang ke-27 hujung minggu lalu.

Barca akan menentang Deportivo La Coruna dalam perlawanan terakhir mereka Sabtu ini.

Mereka juga akan bermain dalam final Piala Raja Sepanyol menentang Athletic Bilbao pada 30 Mei ini di Nou Camp sebelum muncul dalam satu lagi final iaitu Liga Juara-Juara Eropah menentang Juventus di Berlin pada 6 Jun.

PIALA YANG DIMENANGI XAVI SEPANJANG KARIER BERSAMA BARCELONA:

> La Liga: 1998–99, 2004–05, 2005–06, 2008–09, 2009–10, 2010–11, 2012–13, 2014–15

> Piala Raja Sepanyol: 2008–09, 2011–12

> Piala Super Sepanyol: 2005, 2006, 2009, 2010, 2011, 2013

> Liga Juara-Juara Eropah: 2005–06, 2008–09, 2010–11

> Piala Super Eropah: 2009, 2011

> Piala Kelab Dunia Fifa: 2009, 2011

PROFIL XAVI:

> Dilahirkan sebagai Xavi Hernandez Creus pada 25 Januari 980 di Terrassa.

> Sertai Akademi Remaja Barca Julai 1991 pada usia 11 tahun.

> Menjaringkan gol dalam perlawanan pertamanya bersama Barca dalam Piala Super Sepanyol menentang Real Mallorca.

> Mewakili Sepanyol buat pertama kali dalam perlawanan persahabatan menentang Belanda pada November 2000.

> Dipilih sebagai pemain terbaik Kejohanan Negara-Negara Eropah 2008 yang menyaksikan Sepanyol muncul juara buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun.

> Pada musim 2008-09, Xavi membantu Barca memenangi tiga kejuaraan iaitu Liga Juara-Juara Eropah, La Liga dan Piala Raja sepanyol.

> Pada musim 2009-10, Barca menang Piala Super Sepanyol, Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia.

> Xavi diundi berada di tempat ketiga Pemain Terbaik Dunia pada 2009.

> Xavi memainkan peranan utama membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

> Pada Januari 2011, mencatatkan rekod mewakili Barcelona sebanyak 549 kali.

> Memenangi Liga Juara-Juara Eropah menumpaskan Manchester United 3-1 pada 2011.

> Barca memenangi kejuaraan liga mereka yang ketujuh dalam tempoh 11 tahun dan yang kelapan buat Xavi.

> Xavi memenangi 23 piala sepanjang bermain 24 tahun bersama Barcelona dan berpeluang untuk menambah dua lagi pingat dalam final Piala Raja Sepanyol menentang Athletic Bilbao pada 30 Mei ini dan Piala Liga Juara-Juara Eropah dalam final menentang Juventus seminggu kemudian.

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain