suria

Henti Spekulasi Siapa Bekalkan Kapsul Cordyceps - Chong Wei

Datuk Lee Chong Wei
PETALING JAYA: Penggantungan selama lapan bulan yang dikenakan terhadap Datuk Lee Chong Wei akan berakhir pada Jumaat tetapi isu doping itu tidak hanya berakhir begitu sahaja.

Kini, timbul persoalan baharu tentang siapa yang memberikan kapsul Cordyceps yang dicemari 'dexamethasone' kepada ahli sukan negara itu.

Individu yang dikaitkan dengan spekulasi tersebut dikatakan sebagai 'isteri kepada seorang tokoh berpengaruh' yang membawa kepada orang ramai menuding jari kepada wanita pertama Datin Seri Rosmah Mansor.

Chong Wei bagaimanapun menafikannya ketika ditanya oleh media, tetapi enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak mahu memberi respons kepada topik seperti ini, ia hanya akan menyebabkan keadaan bertambah buruk.

"Fokus saya sekarang adalah pertandingan akan datang, terutamanya dalam mendapatkan mata bagi Sukan Olimpik tahun depan," katanya kepada China Press, Khamis.

Apabila ditanya dengan lebih lanjut, beliau berkata kapsul Cordyceps itu diberikan oleh ibunya.

Dengan penafiannya itu, tumpuan kini tertumpu kepada Tok Puan Ena Ling, isteri bekas presiden MCA dan bekas menteri Tun Ling Liong Sik.

Namun, beliau juga menafikan terlibat.

Mengakui mengenali Chong Wei selama bertahun-tahun, beliau berkata tidak sepatutnya dilibatkan dalam perkara ini hanya kerana beliau bermain badminton dan mempunyai hubungan yang rapat dengan pemain badminton itu.

Chong Wei telah digantung lapan bulan selepas gagal ujian doping tahun lalu.

Menurut laporan Persekutuan Badminton Dunia, Chong Wei mengaku di hadapan panel tiga anggota bahawa kapsul Cordyceps telah diberikan kepadanya di antara tahun 2007 dan 2008 oleh isteri kepada seorang rakyat Malaysia yang berpengaruh.

Beliau mengambil dua kapsul setiap pagi.

Chong Wei mendedahkan identitinya kepada panel untuk menyokong penjelasannya.

Artikel Lain