suria

Bojan Diarah Berehat Selepas Tewas Kepada Perak

Bojan Hodak (depan) menerima surat direhatkan daripada pihak pengurusan pada Sabtu. Minggu lalu B. Sathianathan (belakang) diarahkan berehat oleh ATM.
PETALING JAYA: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) merehatkan Bojan Hodak sebagai jurulatih pasukan serta-merta.


Keputusan mengejutkan itu dibuat pada Sabtu apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) memberitahu jurulatih dari Croatia serta tiga pembantunya - Nenad  Bacina (pembantu jurulatih), Miro Petric (jurulatih kecergasan) dan Antonio Sisis (jurulatih penjaga gol) agar ‘mengambil rehat’. 

Ketika dihubungi, Hodak mengesahkan ada menerima surat daripada pihak pengurusan mengenai perkara tersebut, namun dia enggan memberi sebarang komen.

Hodak yang membawa JDT menjulang gelaran pertama liga super musim lalu menjadi jurulatih Liga Malaysia yang ketiga diberitahu ‘berehat’ musim ini.

Minggu lalu, jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B.Sathianathan direhatkan selepas aksi buruk The Gladiators selepas meraih tujuh kemenangan sahaja musim ini.  

Manakala bulan lepas, Kelantan FA membuat perubahan drastik dengan menukar jurulatih George Boateng dari Belanda menjadi ketua jurulatih kanan dan pengarah teknikal gara-gara aksi buruk pasukan.

JDT kini mencatat 15 mata daripada sembilan perlawanan daripada 12 pasukan liga.

Mereka mengekalkan rekod bersih tanpa tewas di Stadium Larkin dengan memenangi empat perlawanan. Sebaliknya keputusan di tempat lawan tidak selancar di laman sendiri apabila mencatat tiga seri dan dua tewas.

Jumaat lalu, skuadnya tewas 2-1 kepada Perak di Stadium Perak walaupun mereka membuka jaringan awal.

Pasukan ‘Harimau Selatan’ itu juga turut terkeluar daripada saingan Piala FA yang menjadi finalis musin lalu selepas tewas kepada juara bertahan, Pahang pada aksi pusingan kedua pada Mac lalu.

Bagaimana pun, mereka mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Piala AFC dengan mengetuai Kumpulan F (9 mata) dan hanya memerlukan satu mata  untuk layak ke kelompok 16 pasukan terakhir.   

JDT, Bojan Hodak

Artikel Lain