suria

Norza Harap Ujian Doping Atlet Selesai Sebelum Ke Singapura

Mohamad Norza Zakaria (dua, kiri) mempengerusikan Mesyuarat Pengurus Pasukan Sukan Sea Ke-28 di Majlis Olimpik Malaysia pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Ketua Kontijen Sukan SEA ke Singapura, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mendedahkan seramai 155 orang atlet sudah menjalani ujian saringan doping sejak Januari lalu.

Jelasnya, masih ada lagi atlet yang belum menjalani ujian ini dan berharap semua pengurus dapat memberi kerjasama kepada Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) agar ianya berjalan lancar.

"Setakat ini hanya 30 peratus sahaja ujian saringan telah dibuat daripada jumlah sebenar 510 orang atlet yang melibatkan 370 atlet individu serta 140 atlet berpasukan.

"Atlet berpasukan akan dipilih secara rawak oleh Adamas bagi menjalani ujian ini, manakala semua atlet individu adalah wajib.

"Kami sudah menjelaskan kepada semua pengurus pasukan supaya memberi maklumat mengenai atlet mereka kepada pihak Adamas agar ujian tersebut selesai sebelum ke Singapura.

"Perkara ini juga memerlukan tanggungjawab daripada semua pihak termasuk pengurus serta atlet agar kontinjen Malaysia bebas daripada bahan terlarang walaupun mungkin ada yang tidak akan menjalani ujian tersebut," kata Norza selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan bagi Sukan SEA Singapura di pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, hampir RM500,000 diperuntukkan bagi menjalankan ujian doping ini.

"Tiada masalah kewangan untuk menjalani ujian doping ini memandangkan jumlah tersebut masih di dalam peruntukkan.

"Kita juga tidak boleh bergantung kepada pihak Adamas sahaja untuk mengatasi masalah doping, tetapi perlu kerjasama daripada jurulatih serta pengurus bagi memastikan atlet-atlet negara bebas bahan terlarang.

"Malah atlet sendiri perlu bertanggungjawab kerana mereka membawa nama Malaysia dan perlu berhati-hati agar perkara ini tidak memalukan diri sendiri dan negara," kata Dr Ramlan.

Dalam pada itu, semua atlet Sukan SEA bakal menyertai kem akhir yang akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 22 hingga 24 Mei ini.

"Semua atlet perlu menyertai kem akhir ini supaya mereka dapat meningkatkan lagi semangat patriotisme dalam diri mereka.

"Kami juga telah melantik seorang pakar runding untuk membantu semua atlet agar lebih bersemangat untuk bertanding di Singapura nanti," kata Norza.

Mohamad Norza Zakaria, Sukan Sea

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana, Jumaat

Artikel Lain