suria

Manchester United, Arsenal Catat Kemenangan

LONDON: Arsenal membelasah Liverpool 4-1 untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea kepada empat dengan Manchester United turut menyalakan sisa-sisa harapan memburu gelaran selepas menewaskan Aston Villa 3-1, Sabtu.

Ketika Chelsea menentang Stoke City awal pagi Ahad, Arsenal memberi sedikit tekanan kepada anak didik Jose Mourinho selepas membaham Liverpool di Emirates dengan gol daripada Hector Bellerin, Mesut Ozil dan Alexis Sanchez pada babak pertama.


Di Old Trafford, Ander Herrera menyumbat dua gol manakala satu daripada Wayne Rooney memacu United melonjak ke tangga ketiga memintas pasukan tetangga, Manchester City ke tempat ketiga selepas menewaskan Villa.

Chelsea kini memiliki 67 mata daripada 29 perlawanan dengan Arsenal mengutip 63 dan United 62 daripada 31 perlawanan manakala Liverpool terus hanyut daripada saingan dengan 54 mata.

Dalam perlawanan lain, kelab tercorot, Leicester City menewaskan West Ham 2-1 manakala pasukan tangga ke-18, Queens Park Rangers membelasah West Bromwich Albion 4-1 untuk merakamkan kemenangan tidak dijangkakan di gelanggang lawan.

Hull City terus merana selepas tewas kepada Swansea 3-1 manakala harapan Southampton memburu tempat keempat tampak semakin tipis selepas tewas kepada Everton 1-0. - AFP

Artikel Sebelum

Bayern Benam Dortmund 1-0

Artikel Berikut

Chelsea Atasi Stoke 2 - 1

Artikel Lain