suria

Badminton: India Rai Kejayaan Saina Nehwal

NEW DELHI: Media India menyertai ahli politik dan peminat badminton negara ini meraikan kejayaan Saina Nehwal untuk muncul sebagai wanita pertama negara ini menduduki ranking nombor satu dunia dalam sejarah sukan badminton.

Saina melakar pencapaian itu dengan penuh bergaya apabila berjaya ke perlawanan akhir pertamanya pada kejohanan Terbuka India setelah mengalahkan pemain Jepun Yui Hashimoto 21-15, 21-11 pada perlawanan separuh akhir di sini semalam. Perlawanan akhir akan berlangsung pada Ahad.

Saluran televisyen juga teruja dengan kejayaan Saina itu dan turut meraikan pencapaiannya dengan menyiarkan liputan komprehensif tentang pencapaian dan kerjayanya sebagai pemain badminton.

Kejayaan Saina itu menjadi penawar yang amat diharapkan oleh peminat sukan di India setelah pasukan kriket kebangsaan negara ini tumpas kepada Australia pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Kriket Piala Dunia pada Khamis.

Saina adalah pemain badminton kedua India yang dinobatkan sebagai jaguh nombor satu dunia selepas pencapaian Prakash Padukone pada 1986 (dalam kategori lelaki).

Antara tokoh yang paling awal mengucapkan tahniah kepada pemain wanita berusia 25 tahun ini ialah Perdana Menteri India Narendra Modi, yang menyifatkan kejayaannya sebagai suatu "pencapaian luar biasa" dan menjadi kebanggaan seluruh negara.

Presiden India Pranab Mukherjee juga mengucapkan tahniah kepada Saina atas pencapaiannya itu.

Walaupun ranking rasmi akan hanya diumumkan Persekutuan Badminton Dunia (WBF) Khamis ini, kedudukan Saina di tempat teratas itu terjamin apabila juara bertahan dunia, Carolina Marin dari Sepanyol, kalah 19-21, 23-21, 20-22 kepada pemain pilihan ketiga, Ratchanok Intanon, dari Thailand.

Setakat ini, Saina, yang merupakan pemenang pingat gangsa Olimpik London, telah menjuarai 14 kejohanan antarabangsa.

Kejayaannya melayakkan diri ke perlawanan akhir Terbuka India di gelanggang sendiri itu merupakan suatu pencapaian yang amat bermakna selepas impiannya untuk meraih kejayaan amat istimewa, musnah dua minggu lepas apabila gagal menjulang gelaran juara All-England.

Saina kalah 21-16 14-21 7-21 kepada Marin dalam perlawanan akhir kategori wanita yang berlangsung selama lebih sejam.

India

Artikel Lain