suria

Sukan SEA: Wei Feng Lebih Yakin, Sedia Hadapi Saingan Di Singapura

Wei Feng jadikan pengalaman pahit di Myanmar sebagai iktibar dan kini lebih yakin menjelang Sukan SEA di Singapura, Jun ini.

PENGALAMAN pahit yang dilalui pemain badminton negara, Chong Wei Feng di Sukan SEA Myanmar 2013 dijadikan pengajaran untuk memperbaiki mutu permainan sebagai persediaan menghadapi kejohanan sama di Singapura pada pertengahan tahun ini.

Pada kejohanan dua tahun lalu itu, Wei Feng yang dianggap sebagai peluang terbaik Malaysia untuk memenangi pingat emas  sebaliknya mempamerkan aksi hambar dan tewas di pusingan pertama kepada lawan yang tidak ternama dari Thailand.

"Sukan SEA di Myanmar adalah kali pertama saya sertai  kejohanan tersebut dan saya akui tidak mempunyai keyakinan tinggi dan tidak tahu menyesuaikan diri kerana itu merupakan perlawanan yang besar berbanding kejohanan yang lain.

"Tahun ini saya berasa lebih yakin dengan cara permainan dan bersedia untuk menghadapi perlawanan besar ini," katanya ketika ditemui pada sesi perjumpaan skuad badminton negara bersama Chef De Mission (CDM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil, Rabu.

Wei Feng juga yakin kecederaan yang dihadapinya akan pulih sebelum bermulanya Sukan SEA tahun ini.

"Kecederaan yang saya alami masih belum pulih sepenuhnya kerana masih rasa sedikit kesakitan tapi saya yakin ia akan pulih dalam masa terdekat," tambahnya yang akan menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia bersama tiga lagi pemain negara bermula 31 Mac ini.

Mengenai kejohanan akhir bulan ini, kata Wei Feng, semua pemain perlu melalui perlawanan kelayakan dan dia bersama tiga wakil Malaysia dapat merealisasikan hasrat itu.

"Setakat ini kami memberi perhatian untuk pusingan kelayakan kerana ada yang berpeluang untuk melayakkan diri, tidak kurang juga ada yang perlu menghadapi laluan sukar tetapi saya berharap kesemua wakil Malaysia akan berjaya melayakkan diri," katanya mengenai kejohanan yang berakhir 5 April itu.







Chong Wei Feng, Sukan SEA, Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Lain