suria

Man City Menang 3-0, Swarbrick Mohon Maaf Salah Layang Kad Merah

Pengadil Swarbrick tersalah melayangkan kad merah kepada McAuley.
MANCHESTER City menang bergaya 3-0 ke atas West Bromwich Albion di Stadium Etihad pada Sabtu.

Namun bukan kemenangan City yang menjadi perhatian pada perlawanan ini, sebaliknya tindakan pengadil Neil Swarbrick yang tersalah melayangkan kad merah kepada pemain West Brom.

Gareth McAuley diarah keluar padang pada minit kedua permainan walaupun kesalahan dilakukan oleh Craig Dawson ke atas Wilfried Bony di kawasan penalti.

Dilaporkan pengadil telah memberitahu kepada pihak media ketika separuh masa kedua bahawa ia adalah kesilapan identiti dan insiden itu telah membuatkan pengurus Tony Pulis ‘bengang’.

Pulis cuba menunggu pengadil sebaik sahaja tamat babak pertama, namun kedua-dua pengadil yang bertugas tidak dapat dikesan.

“Kami perlu penjelasan daripada pegawai perlawanan kerana saya tidak faham apa yang berada di fikiran pengadil,” jelas Pulis.

“Saya minta maaf tetapi keputusan itu tidak masuk akal. Pemain lain yang melakukan kesalahan dan pengadil memilih McAuley”. 

Bagaimana pun, selepas perlawanan Swarbrick memohon maaf di atas kesilapan itu yang sepatutnya kad merah dilayangkan kepada Dawson.

Sementara itu, Bony berjaya membuka jaringan pertama pasukannya pada minit ke-27 diikuti Fernando (40’) dan David Silva melengkap kemenangan di tempat sendiri pada minit ke 77'.

Artikel Sebelum

Keputusan Kejuaraan

Artikel Lain