suria

Anugerah MSSM-Milo: Penghargaan Buat Atlet Remaja Sukan SEA Jun Ini

Muhyiddin menyampaikan Anugerah Putera pada atlet renang, Welson Sim Wee Sheng semasa Majlis Anugerah Sukan MSSM-Milo 2014, di Putrajaya, Selasa.

PUTRAJAYA: Atlet remaja yang akan membawa cabaran negara ke temasya Sukan SEA di Singapura pada Jun depan mendapat suntikan semangat awal apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2014.

Welson Sim Wee Sheng, 18, menganggap pemilihannya sebagai Putera Sukan adalah sebagai pengiktirafan besar dalam arena yang diceburinya, sekali gus mendorong beliau untuk berlatih lebih gigih bagi mengharumkan nama negara pada temasya dwitahunan itu.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu yang beraksi dalam acara renang, melihat pengiktirafan itu sebagai motivasi kepadanya untuk berusaha lebih gigih bagi mencipta lebih banyak kejayaan serta membuktikan status sebagai pelajar bukan penghalang dalam mencipta kecemerlangan dalam sukan.

"Anugerah ini menjadi pemangkin kepada saya untuk mengikut jejak langkah perenang lain yang berjaya mengharumkan nama negara, " katanya yang memenangi tiga pingat emas pada Sukan Sekolah Asean dan Sukan Malaysia Ke-17 sebelum ini.

Beliau ditemui selepas menerima pingat dan trofi daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia MSSM-Milo 2014 di sini, Selasa.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada 12 individu yang mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan manakala jurulatih Kejohanan Asean Games di Filipina 2014, Ting Siew Nguong, dan jurulatih U15 International Little Athletic Championship 2014, Chang Siang Cheng, dipilih sebagai Guru Sukan Berjasa.

Ketua jurulatih International Combined Event Championship bagi sukan balapan dan padang, Mustafa Kamal, pula dipilih sebagai Jurulatih Sukan Cemerlang.

Sementara itu, penerjun negara Nur Dhabitah Sabri, 16, dipilih sebagai Puteri Sukan.

Atlet lompat jauh paralimpik Abdul Latif Romly dan atlet pecut paralimpik Felicia Mikat, dipilih sebagai pemenang Anugerah Pendidikan Khas dan Noor Ainaa Amani Ampandi memenangi Anugerah Tunas Harapan.


Artikel Sebelum

Artikel Lain