suria

Badminton: Li Lian Gantung Raket Awal

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Yang Li Lian mengambil keputusan untuk bersara awal dalam sukan badminton kerana mahu memberi tumpuan kepada pelajarannya.

Pemain muda berusia 22 tahun itu berkata beliau mengambil keputusan tersebut berikutan prestasinya yang tidak konsisten selama tiga tahun berada dalam skuad negara serta mahu mencari bidang lain yang lebih bersesuaian.

"Saya terpaksa korbankan minat saya dalam badminton...saya akan sambung pelajaran peringkat A-level di salah sebuah universiti swasta," katanya kepada pemberita.

Li Lian, yang menghuni ranking ke-57 dunia, telah menghantar surat pengunduran beliau kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Selasa.

Katanya selama tiga tahun dalam skuad kebangsaan, beliau hanya cemerlang dalam kejohanan tempatan sahaja.

Sementara itu, jurulatih perseorangan wanita negara, Wong Tat Meng,  berkata Li Lian masih mempunyai peluang untuk meningkatkan prestasinya memandangkan pemain itu dalam keadaan cergas dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya dan pihak BAM menghormati keputusannya (Li Lian) dan berharap beliau terus berjaya dalam apa jua yang dilakukannya nanti. Bagi saya, memang terlalu awal beliau mahu berhenti sebab Li Lian adalah pemain yang berpontensi.

"Selepas Wong Mew Choo, Julia Wong, Lydia Cheah memang kita sudah tiada pemain perseorangan wanita yang kompetetif.

Pemain yang ada sekarang masih dalam peringkat pembangunan dan terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan pemainbertaraf dunia, masih banyak perlu diperbaiki," katanya.

Kini pemain perseorang wanita negara dibarisi Tee Jing Yi dan Sonia Cheah yang perlu berusaha keras untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Tat Meng berkata pemain perseorangan wanita kini sedang membuat persiapan menghadapi kejohanan Piala Sudirman pada Mei ini dan Sukan SEA 2015 di Singapura pada Jun ini.

Yang Li Lian, bersara

Artikel Lain