suria

Skuasy: Delia Sasar Ranking 20 Teratas WISPA Tahun 2015

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor tiga negara DeliaArnold menyasarkan untuk menduduki ranking 20 teratas dalam senarai Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, pemain berusia 29 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu berada pada kedudukan ke-28 dalam ranking dunia, yakin untuk mencapai sasaran itu memandangkan beliau akan bertanding dalam beberapa kejohanan seperti Granite Open di Kanada mulai 16 hingga 20 Februari dan juga Windy City Open di Chicago, Amerika Syarikat mulai 24 Feb hingga 3 Mac.

"Saya berharap dengan penyertaan dalam dua kejohanan ini dan beberapa kejohanan lain, ia dapat membantu meningkatkan sedikit ranking dunia saya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Delia berkata beliau baru sahaja memulakan latihan di bawah bimbingan jurulatih Pakistan, Ahmed Malik selepas berehat daripada menyertai pertandingan bulan lepas.

"Saya berharap akan mendapat keputusan yang lebih baik dalam semua pertandingan yang akan disertai tahun ini," katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Delia tahun lepas ialah merangkul kejuaraan IJM Land Penang Open di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David di Pulau Pinang. 

Delia Arnold

Artikel Lain