suria

Terbuka Australia: Nasihat Jurulatih Bawa Williams Ke Suku Akhir

NASIHAT jurulatih yang berada di sudut penyokong memberi keyakinan kepada Serena Williams untuk mara ke suku akhir Terbuka Australia selepas menundukkan pemain Sepanyol Garbine Muguruza 2-6 6-3 6-2 di Rod Laver Arena, Isnin.

Muguruza yang berumur 21 tahun hampir sekali lagi mengetepikan Williams selepas menang mudah 2-6 pada set pertama sebelum jaguh nombor satu dunia dari Amerika Syarikat itu bangkit menguasai set kedua dan ketiga.

Aksi bertenaga Muguruza ini tidak mengejutkan peminat-peminat sukan tenis dunia apabila dia pernah menewaskan Williams pada set kedua Rolan Garros tahun lalu.

"Seseorang di kawasan penonton menjerit 'ayuh Serena, guna pukulan putaran'. Terdapat ramai 'jurulatih' di sini," jelas Williams selepas tamat permainan.

"Williams memberitahu, nasihat 'jurulatih-jurulatih' itulah yang membawa kepada kemenangan ini.

"Saya hanya terfikir 'kamu betul'. Saya cuba membuat apa yang diberitahu mereka, tetapi tidak melakukannya.

"Tidak dinafikan ia merupakan saat paling indah. Saya mendengar nama saya dipanggil di segenap gelanggang ini seperti 360 darjah. Saya tidak dapat suasana ini di tempat lain," jelasnya.

Juara 18 kali Grand Slam ini menggunakan pukulan di garisan belakang yang memaksa Muguruza gagal mengejarnya.

Walaupun pelbagai laungan nasihat yang diberikan kepada Williams oleh penyokong yang hadir, tetapi jurulatih tetapnya, Patrick Mouratoglou adalah individu yang menjadi tulang belakang kepada pemain ini sehingga masih menguasai kedudukan teratas ranking dunia pada usia 33 tahun.

"Saya yakin Patrick membawa banyak perkara ketika aksi ini.

"Antaranya aksi konsisten saya, tahap motivasi yang tinggi dan corak permainan yang penuh strategi.

"Ketika masuk ke gelanggang, saya hanya memberi fokus apa yang akan terjadi, apa yang saya akan buat.

"Ia menjadikan hidup saya lebih mudah. Tahap motivasi yang beliau ada sukar diluahkan."Kami banyak persamaan. Beliau sangat mementingkan kesempurnaan, begitu juga saya.

"Tidak ada pilihan lain kecuali untuk menjadi lebih baik. Jika saya ingin teruskan permainan, kami perlu melakukan perkara baharu," tambahnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain