suria

Amelia-Soong Muncul Juara GP Emas Terbuka India

Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho.

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho membuktikan kehebatan apabila muncul juara pada Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka India di Lucknow, India.

Pada aksi final acara beregu wanita di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das pada Ahad, Amelia-Soong yang diletakkan selaku pilihan keempat, melakar kejutan menerusi kemenangan 22-20, 21-15 ke atas rakan senegara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei yang juga pilihan utama kejohanan.

Selaku juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$9,480 (RM34,133) manakala Vivian dan Woon meraih AS$4,560 (RM16,418) sebagai naib juara, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Untuk rekod, pasangan Amelia dan Soong terkandas di pusingan kedua kejohanan yang sama tahun lepas, selepas kalah 19-21, 21-15 dan 19-21 kepada beregu India, Jwala Gutta dan Ashwini Ponnappa.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menghantar wakil dalam empat acara lain iaitu perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan campuran, namun pemain negara gagal meneruskan kemaraan selepas kalah kepada lawan masing-masing.

Artikel Sebelum

Artikel Lain